Header Ads

test

KAYUHAN ‘INFINEON ECO CYCLING’ SEMARAKKAN GAYA HIDUP SIHAT, PUPUK BUDAYA HIJAU

Roslinda Hashim
KULIM - Lebih 100 kakitangan Infineon Technologies (Kulim) bersama komuniti setempat dan pihak berkuasa tempatan Kulim Hi-Tech Park (KHTP) menyertai kayuhan sejauh 20 kilometer dalam usaha memupuk gaya hidup sihat dan budaya hijau terhadap kelestarian alam sekitar.
Program ‘Eco Cycling’ yang diadakan di KHTP itu merupakan sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-20 Infineon Kulim serta bersempena Hari Kesihatan Alam Sekitar Sedunia.
Menurut kenyataan dikeluarkan Infineon Kulim, kayuhan bermula di tempat letak kereta bertingkat premis kilang tersebut sebelum peserta merentasi laluan membabitkan beberapa mercu tanda di KHTP, kawasan ladang kelapa sawit, kampung serta taman rekreasi.
Acara kayuhan berkenaan dilepaskan oleh Naib Presiden Kanan Teknologi Frontend Infineon Kulim, V. Lakshmanan, selepas peserta mengikuti taklimat keselamatan dan sesi pemanasan badan.
Menurut Infineon Kulim, program itu melambangkan usaha bersama warga syarikat dan komuniti ke arah kehidupan lebih sihat, persekitaran lebih hijau serta masa depan yang lebih mampan.
“Infineon Kulim akan terus komited menyokong sasaran syarikat mencapai neutraliti karbon menerusi pelbagai inisiatif kelestarian di fasilitinya.
“Fasiliti berkenaan menggunakan 100 peratus tenaga elektrik hijau selain melaksanakan langkah kecekapan tenaga terkini bagi mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan karbon,” katanya.
Bagi mengurangkan pelepasan, Infineon turut menggunakan sistem pengurangan pelepasan bertaraf teknologi terkini serta bahan penyejuk hijau yang mempunyai kecekapan tinggi dan potensi pemanasan global yang amat rendah.
“Langkah kelestarian lain termasuk penggunaan teknologi kitar semula bahan tidak langsung yang canggih serta proses kecekapan dan kitar semula air bertaraf teknologi terkini bagi memastikan operasi syarikat lebih mampan,” kata kenyataan itu lagi.
Infineon Technologies AG merupakan peneraju global dalam bidang semikonduktor, khususnya sistem kuasa dan Internet Benda (IoT), dengan produk serta penyelesaian yang menyokong usaha penyahkarbonan dan pendigitalan.
Syarikat itu mempunyai kira-kira 57,000 kakitangan di seluruh dunia setakat akhir September 2025 dan menjana hasil kira-kira €14.7 bilion bagi tahun kewangan 2025 yang berakhir pada 30 September.

Tiada ulasan