Header Ads

test

SULTAN NAZRIN DUKACITA BUDAYA DEBAT TANPA ADAB SEMAKIN MEMBIMBANGKAN

Roslinda Hashim
PUTRAJAYA - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan dukacita terhadap budaya perbincangan dan perdebatan kalangan masyarakat Melayu dan umat Islam yang semakin berubah menjadi pertelagahan tanpa adab, sehingga perbezaan pandangan bertukar menjadi permusuhan.
Baginda yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bertitah, ia semakin membimbangkan apabila berita yang belum disahkan disebarkan tanpa menghiraukan kesannya, selain aib dan kelemahan seseorang dibuka kepada umum.
“Masyarakat Melayu dan umat Islam kini berdepan krisis adab.
"Sangat mendukacitakan, ketika ini kita menyaksikan perbincangan dan perdebatan, yang lebih berbentuk pertelagahan tanpa adab, semakin berlaku dalam masyarakat Melayu dan umat Islam di negara ini.
“Berita yang belum disahihkan disebarkan tanpa menghiraukan dosa, aib dibuka dan perbezaan pandangan bertukar menjadi permusuhan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Mesyuarat MKI kali ke-75 di sini, hari ini, yang turut dihadiri Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Turut hadir Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku Timbalan Pengerusi MKI bersama anggota majlis.
Sultan Nazrin bertitah, krisis adab tidak boleh dipandang ringan kerana keruntuhan sesebuah masyarakat sering bermula dengan hakisan nilai dan akhlaknya.
Sehubungan itu, baginda menegaskan pentingnya masyarakat membudayakan sikap mendengar sebelum menjawab, memahami sebelum menghukum dan meneliti kesahihan sesuatu perkara sebelum menyebarkannya.
“Bangsa dan ummah perlu menghidupkan kembali adab ketika berkomunikasi dan ketika berbeza pendapat.
“Kita boleh tidak bersetuju tanpa perlu menghina. Kita boleh menegur tanpa mengaibkan. Kita boleh mempertahankan kebenaran tanpa kehilangan kebijaksanaan dan rasa belas ihsan,” titah baginda.
Menurut Sultan Nazrin, keupayaan mengurus perbezaan secara matang berkait rapat dengan penghayatan konsep syura atau perundingan bersama, manakala adab memastikan setiap perbezaan pandangan dikendalikan dengan hormat, sopan dan kebijaksanaan.
“Kekuatan sebenar tidak lahir daripada keseragaman pandangan. Ia terletak pada keupayaan kita untuk berbeza pandangan tanpa permusuhan, menegur tanpa mengaibkan serta membuat keputusan bersama dengan penuh integriti dan rasa tanggungjawab,” titah baginda.
Sultan Nazrin turut mengingatkan, adab bukan sekadar berkaitan kesopanan dan budi bahasa, sebaliknya merangkumi hubungan manusia dengan Allah, sesama manusia, alam semula jadi dan diri sendiri.
Baginda bertitah, adab turut menuntut seseorang menghargai ilmu dan memuliakan guru, selain menjadi manifestasi ilmu, pelindung kebebasan serta asas keharmonian masyarakat.
“Apabila adab dipelihara, perbezaan dapat diuruskan. Apabila adab diabaikan, ilmu dan kuasa sekalipun boleh menjadi punca perpecahan,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda menegaskan syura bukan lesen untuk seseorang bercakap tanpa batasan atau tanpa adab, manakala kebebasan bersuara tidak seharusnya disalahgunakan untuk menghina, menuduh atau memfitnah.
“Kebebasan bersuara tidak bermaksud bebas untuk menghina. Perbezaan pendapat bukan alasan untuk menuduh atau merendah-rendahkan orang lain, apatah lagi memfitnah mereka,” titah baginda.
Baginda turut mengingatkan pemimpin supaya sentiasa merendah diri, bersedia mendengar pandangan berbeza, menerima teguran serta mempertimbangkan nasihat dengan hati terbuka.
“Syura menyediakan ruang untuk pandangan yang berbeza, adab memastikan perbezaan itu diuruskan dengan penuh hormat, mempertimbangkan pandangan pihak lain dan berusaha mencapai keputusan yang memberi manfaat kepada kepentingan bersama,” titah baginda.
Sultan Nazrin juga mahu budaya syura dan adab diperkukuh dalam keluarga, institusi pendidikan, organisasi, masjid, pentadbiran serta seluruh masyarakat.
“Syura yang disertai adab akan melahirkan keputusan bijaksana, kepimpinan adil dan masyarakat yang matang.
“Sebuah masyarakat tidak menjadi kuat kerana semua anggotanya mempunyai pandangan yang sama, tetapi sesebuah masyarakat menjadi kuat kerana berdaya dan berhikmah mengurus perbezaan dengan ilmu, kesabaran dan rasa hormat,” titah baginda.
Baginda berharap MKI dapat menjadi contoh sebuah badan yang menghidupkan syura sebagai budaya dan menjadikan adab sebagai keperibadian dengan mendengar menggunakan hati, berbicara dengan hikmah serta kekal bersaudara meskipun berbeza pendapat.
“Syura menyatukan pandangan dan adab menyatukan hati. Jika kita mahu ummah dihormati, suburkan ilmu dalam perbincangan.
“Jika kita mahu masyarakat bersatu, jagalah adab dalam perbezaan. Jika kita mahu kepimpinan diberkati, letakkan kebenaran mengatasi ego dan kepentingan diri,” titah baginda.
Sultan Nazrin turut mengingatkan masyarakat agar tidak menjadi insan yang hanya mahu didengar tetapi tidak mahu mendengar, mudah menghukum tetapi enggan memahami, atau berbicara mengenai perpaduan sedangkan kata-kata sendiri menyemarakkan perpecahan.

 

Tiada ulasan