Header Ads

test

MPKK RAIH PENGIKTIRAFAN PERINGKAT KEBANGSAAN, BAWA PULANG DUA ANUGERAH

Roslinda Hashim

KULIM - Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) mencatat kejayaan membanggakan apabila meraih dua pengiktirafan di peringkat kebangsaan menerusi Anugerah Transaksi Tanpa Tunai Tertinggi PBT Tahun 2026 dan Kempen Pengurusan Haiwan Terbiar Tahun 2026.

MPKK dinobatkan tempat kedua Anugerah PBT Terbaik, Anugerah Transaksi Tanpa Tunai Tertinggi PBT bagi Kategori Perbandaran, sekali gus mengiktiraf usaha berterusan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memperluas pendigitalan serta memudahkan urusan perkhidmatan kepada masyarakat.

MPKK turut meraih tempat ketiga bagi Kempen Pengurusan Haiwan Terbiar menerusi pelaksanaan kempen berkenaan di Kulim, yang mencerminkan komitmen dalam memastikan pengurusan persekitaran bandar lebih teratur, selamat dan sejahtera.

Menurut kenyataan MPKK menerusi laman rasmi Facebooknya, kedua-dua pencapaian itu diumumkan pada kemuncak program Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia (SHKPS) Peringkat Kebangsaan Tahun 2026, di Bertam Resort, Pulau Pinang, semalam.

Konvensyen yang berlangsung pada Sabtu itu disempurnakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, dengan diiringi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, selain menghimpunkan kepimpinan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kerajaan Negeri serta PBT dari seluruh negara.

Program bertemakan ‘Sinergi MADANI, PBT Lestari, Persekitaran Harmoni’ menjadi wadah penting dalam memperkukuh sinergi antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan PBT, di samping memperkasa peranan PBT sebagai barisan hadapan dalam penyampaian perkhidmatan yang cekap, responsif dan memberi impak secara langsung kepada rakyat.

Delegasi MPKK diketuai Yang Dipertua MPKK, Dato’ Elmi Yusoff.

Menurut MPKK, penyertaan dalam program berkenaan membuka ruang kepada pihaknya memperkukuh jaringan strategik, berkongsi amalan terbaik serta mengikuti perkembangan agenda reformasi, pendigitalan, inovasi dan peningkatan prestasi kerajaan tempatan.

“Pencapaian ini bukan sekadar pengiktirafan kepada organisasi, malah menjadi bukti kepada masyarakat dan seluruh warga Kulim bahawa setiap usaha penambahbaikan, inovasi, pendigitalan serta pengurusan persekitaran yang dilaksanakan MPKK menghasilkan impak positif dan mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan,” menurut kenyataan itu.

MPKK turut menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil komitmen dan usaha berpasukan seluruh warga kerjanya, selain kerjasama strategik pelbagai agensi serta sokongan berterusan masyarakat Kulim.

Menurutnya, kecemerlangan sesebuah PBT bukan hanya diukur melalui pengiktirafan yang diterima, sebaliknya melalui keupayaan untuk terus menyediakan perkhidmatan berkualiti serta memenuhi keperluan rakyat.

“Kejayaan setiap PBT merupakan manifestasi komitmen bersama dalam mempertingkatkan mutu perkhidmatan kerajaan tempatan serta mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, selamat, mampan dan sejahtera untuk rakyat.

“Terima kasih masyarakat Kulim atas kepercayaan, sokongan serta kerjasama yang diberikan. Ini adalah kejayaan kita bersama demi Kulim yang lebih progresif, mampan dan sejahtera,” kata kenyataan itu lagi.

Tiada ulasan