Header Ads

test

ENAM PESAKIT TERLANTAR TERIMA MANFAAT BSPT DI DAERAH PENDANG

 

Ku Azizah Ku Hamid
PENDANG - Seramai enam pesakit terlantar di daerah Pendang menerima inisiatif kebajikan Bantuan Sejahtera Pesakit Terlantar (BSPT) berjumlah RM500 secara 'one-off' bagi meringankan beban kewangan yang ditanggung mereka dan keluarga.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Perpaduan, Dato' Halimaton Shaadiah Saad berkata, penerima bantuan melibatkan penduduk di dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Sungai Tiang dan Tokai.
Menurut beliau, bagi DUN Sungai Tiang penerima terdiri daripada Saidatul Ikma Abdul Anuar, 11, yang menghidap OKU fizikal; Che Su Ahmad, 69, yang turut mengalami komplikasi OKU fizikal serta Robiah Ishak, 63, menghidap kencing manis dan darah tinggi.
Katanya, di DUN Tokai, bantuan disalurkan kepada Muhammad Afif Adnan, 27, yang terlantar akibat brainstem stroke sindrom; Salmah Ahmad, 71, menghidap darah tinggi dan saraf serta Sabaruddin Zainol, 53, menghidap penyakit kronik slip disc.
"Alhamdulillah, ketika menziarahi rumah pertama, penerima telah menerima kerusi roda khas daripada Baitulmal.
"Selain itu, JKM juga menyumbangkan katil pesakit khas untuk pesakit terlantar di DUN Tokai pada hari ini. Proses penyerahan akan dibuat oleh pihak JKM.
"Pihak Zakat juga turut menyumbangkan tilam, lampin pakai buang dan pelbagai lagi keperluan yang diperlukan," katanya selepas menyantuni penerima BSPT di sekitar daerah Pendang, hari ini.
Beliau berharap program ini akan memberi manfaat kepada setiap rakyat Kedah, terutamanya di setiap DUN yang dilawati.
Program ziarah ini dihadiri oleh Ketua Penolong Pengarah (Bahagian Pembangunan Kanak-Kanak dan Perintah Khidmat Masyarakat) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Norsuyani Mohd Noor.
Hadir sama, wakil Pusat Khidmat DUN Sungai Tiang; wakil Pusat Khidmat DUN Tokai; wakil Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Baitulmal, MBI Kedah, Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) dan PERKESO.

Tiada ulasan