TECHLYMPIC PLATFORM PERKASAKAN BAKAT STEM DI KEDAH
Ku Azizah Ku Hamid
KULIM – Malaysia Techlympic perlu dimanfaatkan sebagai platform pembangunan bakat berterusan bagi mencungkil dan memperkasa generasi muda dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) sejak peringkat sekolah.
Pengerusi Jawatankuasa Industri & Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi & Inovasi, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, pembangunan bakat STEM memerlukan kerjasama bersepadu antara kerajaan, sekolah, industri dan ibu bapa bagi menyediakan ekosistem yang mampu mengembangkan potensi anak-anak muda.
Jelasnya lagi, sektor industri juga diseru untuk meningkatkan sokongan kepada pendidikan dengan menyediakan ruang dan peluang kepada generasi muda untuk mengembangkan bakat dalam bidang teknologi.
"Peserta berbakat tidak seharusnya terhenti selepas tamat persekolahan atau pengajian tinggi, sebaliknya perlu mempunyai laluan pembangunan yang jelas sehingga mampu menjadi saintis, jurutera, teknologis dan tokoh industri," katanya ketika berucap di Malaysia Techlympic 2026 Breakout Zone Utara yang dirasmikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Chang Lih King.
Haim Hilman turut mencadangkan Techlympic Talent Track iaitu pembangunan bakat berterusan diadakan bagi membimbing peserta berbakat secara berperingkat, selain Techlympic National Challenges yang memberi ruang kepada mereka menghasilkan penyelesaian terhadap masalah sebenar negara.
“Daripada pertandingan di peringkat sekolah rendah, mereka perlu mempunyai laluan pembangunan bakat yang jelas. Laluan inilah yang akan melahirkan saintis dan jurutera," kata beliau.
Beliau turut mencadangkan konsep Techlympic 365 bagi memastikan program berkaitan STEM, inovasi dan pembangunan bakat dilaksanakan secara berterusan sepanjang tahun.
Post a Comment