KEDIAMAN RASMI PEGAWAI DAERAH DIDIAMI TUNKU ABDUL RAHMAN, DIJADIKAN GALERI SEJARAH
Roslinda Hashim
SUNGAI PETANI - Kediaman rasmi Pegawai Daerah Kuala Muda yang pernah diduduki Bapa Kemerdekaan, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ketika berkhidmat di daerah itu, bakal dihidupkan semula sebagai galeri sejarah.
Kediaman berkenaan yang terbiar lebih 20 tahun kini dipulihkan dan diserahkan secara pajakan selama 10 tahun kepada Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) untuk dibangunkan sebagai lokasi bersejarah, pusat rujukan sejarah setempat serta tarikan pelancongan.
Pegawai Daerah Kuala Muda, Sharifah Norulasyikhah Syed Mohamad berkata, kediaman itu mempunyai nilai sejarah dan warisan yang amat tinggi kerana pernah didiami Tunku Abdul Rahman ketika beliau berkhidmat sebagai Pegawai Daerah Kuala Muda antara 1936 hingga 1940.
“Ia adalah kediaman rasmi pegawai daerah sejak dulu, terbiar sekian lama sehinggalah dipulihkan untuk kita wujudkan suasana baharu bagi menceriakan bandar Sungai Petani.
“Kaitan Almarhum Tunku Abdul Rahman dengan kediaman ini merupakan nilai sejarah dan warisan tinggi, menjadikannya sebahagian daripada sejarah awal pentadbiran daerah Kuala Muda serta perjalanan menuju kemerdekaan negara,” katanya.
Menurut Sharifah Norulasyikhah, kediaman berkenaan bukan sekadar sebuah bangunan lama, sebaliknya menyimpan sejarah penting berkaitan pentadbiran Kuala Muda dan perjalanan tokoh yang kemudiannya menjadi Perdana Menteri Malaysia pertama.
Penyerahan kediaman berkenaan kepada MPSPK disempurnakan oleh Sharifah Norulasyikhah kepada Yang Dipertua MPSPK, Tunku Iskandar Shah Tunku Muszaffar Shah, baru-baru ini.
Sementara itu, Tunku Iskandar Shah berkata, rumah berkenaan kini dalam proses baik pulih dan dijangka dibuka kepada orang awam sebagai galeri pada tahun depan.
Katanya, penyerahan aset bersejarah itu bukan sekadar pemindahan sebuah bangunan, sebaliknya usaha memastikan warisan Kuala Muda terus hidup, dikenali dan dihargai masyarakat.
“Daripada sebuah rumah yang menyimpan sejarah, kepada sebuah galeri yang bakal menceritakan sejarah,” katanya.
Menurutnya, ia merupakan rentetan daripada Program Citra Warisan apabila MPSPK bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengecat Balai Polis Lama Sungai Petani sebagai langkah awal memelihara bangunan-bangunan warisan.
“MPSPK melihat bangunan bersejarah ini sebagai aset penting yang perlu dipelihara dan diberi nafas baharu,” katanya.
Menurut beliau, rumah berkenaan dirancang dibangunkan sebagai Galeri Sejarah Kuala Muda yang bakal menjadi pusat rujukan sejarah setempat serta destinasi pendidikan untuk generasi muda.
Selain itu, katanya, lokasi tersebut berpotensi dijadikan ‘heritage stop’ dalam laluan pelancongan Sungai Petani dan Kuala Muda, sekali gus menjadi hentian sejarah yang mampu menarik pelajar, pengkaji serta pelancong.
Bagi memperkukuh usaha itu, MPSPK memperuntukkan RM500,000 melalui Jabatan Landskap untuk menaik taraf kawasan sekitar bangunan berkenaan, yang akan dibangunkan ruang hijau bandar berkonsepkan ‘Urban Forest’, sejajar dengan aspirasi penghijauan negeri serta Program 2 Juta Pokok.
Tunku Iskandar Shah berkata, MPSPK komited memastikan sejarah bukan sekadar tersimpan dalam buku, sebaliknya dapat dilihat, dipelajari dan dihayati secara langsung oleh masyarakat.
“Sebuah bandar yang hebat bukan sahaja membina bangunan baharu, tetapi turut memelihara kisah yang membentuk identitinya,” katanya.
Beliau berkata, kediaman itu dibina sebelum Perang Dunia Kedua berasaskan reka bentuk banglo bertiang, siling tinggi dan anjung yang bersesuaian dengan iklim tropika menerusi pengudaraan serta pencahayaan semula jadi.
Katanya, ciri berkenaan memberikan nilai estetika dan klasik kepada kediaman rasmi Pegawai Daerah Kuala Muda itu.
“Binaannya dipengaruhi seni bina kolonial British digabungkan elemen tempatan Kedah, menjadikan ia warisan berprestij yang perlu dipelihara dan dihargai generasi akan datang,” katanya.
Post a Comment