BENDANG BUKAN SEKADAR SUMBER REZEKI, ERATKAN SILATURAHIM MELALUI RIADAH KOMUNITI
Ku Azizah Ku Hamid
BANDAR BAHARU – Sukan dan riadah komuniti menjadi antara platform menyatukan masyarakat serta mengeratkan hubungan penduduk luar bandar.
Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan, Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan, Muhammad Radhi Mat Din berkata, aktiviti sukan bukan sekadar medan pertandingan, sebaliknya ruang untuk masyarakat berinteraksi, mengukuhkan silaturahim dan membina komuniti yang sihat serta harmoni.
Menurutnya, bendang bukan sekadar kawasan pertanian, malah menjadi sumber rezeki serta sebahagian daripada warisan masyarakat Kedah yang perlu dipelihara.
"Pengorbanan pesawah sebagai penggerak sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara juga perlu dihargai.
“Melalui aktiviti seperti ini, kita dapat bertemu rakan lama, berkenalan dengan orang baharu dan mengeratkan hubungan sesama penduduk. Inilah sukan komuniti yang dekat dengan rakyat dan mampu menyatukan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Program Sukan Air Komuniti sempena Awal Musim Penanaman Padi Peringkat Daerah Bandar Baharu 2026 di Kampung Parit Teropong, di sini.
Tambah beliau, penganjuran aktiviti sukan berteraskan komuniti juga membolehkan penduduk mengeratkan hubungan tanpa mengira latar belakang.
Program itu turut dimeriahkan dengan pelbagai acara unik yang dekat dengan kehidupan masyarakat tani, antaranya bola sepak dalam bendang, pertandingan menangkap itik, meniti tiang licin dan tarik tali dalam bendang.
Dalam pada itu, Muhammad Radhi berkata, usaha dan pengorbanan pesawah wajar dihargai kerana pengeluaran makanan ruji negara bergantung pada kesungguhan golongan itu mengusahakan tanaman padi.
Beliau berharap musim penanaman padi kali ini berjalan lancar, memberikan hasil yang baik dan membawa rezeki yang diberkati kepada seluruh pesawah.
"Saya juga menyeru golongan belia supaya lebih aktif menyertai aktiviti kemasyarakatan termasuk program sukan dan gotong-royong bagi membantu membangunkan komuniti masing-masing.
“Tenaga, idea dan semangat anak muda amat diperlukan. Melalui aktiviti seperti ini, mereka dapat belajar bekerjasama, memimpin dan menghormati orang lain,” katanya.
Post a Comment