Header Ads

test

SUNGAI BERSIH, SUMBER AIR TERPELIHARA TANGGUNGJAWAB BERSAMA

 

Ku Azizah Ku Hamid
KUALA KEDAH – Kelestarian sumber air dan kebersihan sungai tidak boleh bergantung kepada usaha kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan perubahan minda serta komitmen berterusan masyarakat bagi memastikan khazanah alam terus terpelihara untuk generasi akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar, Dato’ Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria berkata, penglibatan masyarakat amat penting dalam memastikan sungai dan sistem saliran bebas daripada pencemaran.
Menurutnya, pembangunan fizikal dan ekonomi perlu bergerak seiring dengan pemeliharaan ekosistem serta sumber semula jadi, selaras dengan Teras 6 Pelan Pembangunan Kedah 2035, iaitu Kemampanan Alam Sekitar.
“Air merupakan nadi kehidupan yang amat penting kepada rakyat, sektor pertanian dan industri. Justeru, pengurusan sumber air perlu dilaksanakan secara holistik, termasuk melalui pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) secara berterusan bagi memperkukuh mitigasi bencana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Hari Air dan Alam Sekitar 2026 DUN Pengkalan Kundor di perkarangan Masjid Aisyah, Kampung Hujung, Telok Bagan, di sini.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat Kuala Kedah supaya memainkan peranan menjaga kebersihan sungai dan sistem saliran, mengelakkan pencemaran serta mengamalkan gaya hidup hijau dalam kehidupan seharian.
Katanya, kerjasama erat antara masyarakat dengan kerajaan penting bagi memastikan usaha memelihara alam sekitar dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan.
Program berkenaan turut menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan pihak berkaitan menerusi reruai pameran, penyediaan perkhidmatan kesihatan, sukan rakyat serta pelbagai aktiviti lain bagi mendekatkan perkhidmatan kepada masyarakat, selain meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemeliharaan alam sekitar.
Antara agensi yang terlibat ialah Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), E-Idaman Sdn. Bhd. serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi Jualan Rahmah.

Tiada ulasan