Header Ads

test

KEDAH DESAK DASAR INDUSTRI REE DISEGERAKAN, PELABUR SUDAH BERSEDIA

 

Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kerajaan Persekutuan digesa mempercepatkan penggubalan dasar berkaitan pengeluaran unsur nadir bumi (REE) bagi membolehkan aktiviti perlombongan mineral itu dilaksanakan.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kelewatan Kerajaan Persekutuan menetapkan dasar berkaitan perlombongan REE dikhuatiri menyebabkan Kedah kehilangan peluang menjana hasil baharu ketika permintaan terhadap mineral itu sedang meningkat di pasaran antarabangsa.
Menurutnya, beberapa pelabur sudah menyelesaikan proses penerokaan REE di negeri ini, namun masih belum dapat meneruskan aktiviti perlombongan kerana menunggu dasar dan kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan.
“Kelewatan itu bukan sahaja menjejaskan usaha kita mengeluarkan REE, malah boleh menyebabkan pelabur beralih ke negara lain seperti Indonesia, Kemboja dan Myanmar yang turut menawarkan peluang dalam industri REE,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup The Greater Kedah Lecture Series 1 bertemakan ‘Empowering Lives, Advancing Kedah’, hari ini.
Sanusi berkata, pelabur yang ingin menjalankan aktiviti perlombongan perlu mematuhi pelbagai prosedur termasuk menyediakan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA), selain mendapatkan lesen perlombongan dan kelulusan teknikal berkaitan.
Katanya, proses menyediakan EIA mengambil masa lama, justeru kelewatan dalam penetapan dasar serta kelulusan akan menyebabkan keseluruhan proses untuk mengeluarkan REE tertangguh.
“Kita mahu ekstrak REE, pelabur pun sudah bersedia. Bila proses teknikal lambat, lambatlah lagi nak ekstrak REE, jadi hasil baharu negeri tergendala.
“Ini mineral baharu untuk negeri, jadi inilah antara sumber pendapatan baharu kita. Permintaan sekarang tinggi, Amerika Syarikat, China dan Perancis mahukannya. Jadi, sementara harga dan permintaan tinggi, eloklah dasar itu diadakan sekarang supaya aktiviti perlombongan dapat dilaksanakan. Bukan tunggu dan lihat terlalu lama,” katanya
Sanusi berkata, Kerajaan Persekutuan sebelum ini memberikan alasan keselamatan negara (national security) apabila ditanya mengenai kelewatan membenarkan negeri meneruskan aktiviti perlombongan REE.
“Bila kita tanya kenapa lambat, kenapa negeri belum boleh keluarkan REE, jawapan diberi ialah keselamatan negara.
“Kalau begini, kita terpaksa tunggu. Itulah saya kata mungkin sampai 100 tahun pun masih tunggu, tak tahu bila, lepas itu mereka marah pula bila saya sindir begitu,” katanya merujuk kenyataan beliau ketika ‘SG4 Business & Economic Forum 2026’ pada Isnin lalu.
Sanusi berkata, Kedah bukan sekadar mahu melombong REE, sebaliknya mahu membangunkan industri hiliran bagi meningkatkan nilai ekonomi mineral itu.
Katanya, terdapat pelabur yang bersedia melabur dalam kemudahan pemprosesan dan penguraian REE di negeri ini, termasuk mengasingkan 17 elemen yang terkandung dalam mineral tersebut.
“Kita tidak mahu jual REE mentah. Kita mahu proses penguraian 17 elemen itu dilakukan di sini supaya ada industri hiliran dan nilai tambah kepada negeri. Ada pelabur sudah bersedia bina kilang, tetapi dasar Kerajaan Persekutuan belum ada,” katanya.
Beliau berkata, Kedah juga sudah menetapkan dasar negeri berkaitan REE, termasuk kadar royalti tinggi, selain menawarkan potensi pulangan kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang menjadi rakan usaha sama dalam projek berkenaan.
Sanusi juga tidak menolak kemungkinan kelewatan dasar berkenaan berkait dengan hasrat Kerajaan Persekutuan meletakkan pengurusan industri REE di bawah sebuah GLC.
“Jika ini berlaku, habislah hak negeri. Ia perlu diteliti dari segi kesannya terhadap hak serta hasil negeri,” katanya.
Beliau turut membangkitkan kebimbangan sekiranya pengurusan REE kelak menggunakan pendekatan menyerupai industri petroleum, yang boleh mengehadkan pulangan negeri sekiranya mekanisme sedemikian dilaksanakan.
“Ini mungkin taktik, jika industri minyak boleh diterima sebab bukan semua negeri ada minyak. Namun kebanyakan negeri ada REE.
“Mungkin tak wujudkan akta seperti petroleum, namun akan ada dasar yang mengikat negeri-negeri,” katanya.
Ditanya sama ada ia antara sekatan mengelak negeri SG4 menjadi kaya-raya, Sanusi berkata, tidak sewajarnya ada halangan untuk negeri menambah sumber baharu kerana hak negeri untuk meneroka galian.
“Taktik itu bahasa saya lah. Jika tiada sekatan, adalah hasil baru untuk negeri. Sementara harga masih tinggi, berilah ruang. Sekarang bila kita lambat, pelabur cari pasaran di negara lain. Bila pengeluaran banyak pula, harga relatif turun,” katanya.
Tegas beliau, bukan Kedah sahaja berdepan senario ini, cuma negeri-negeri lain enggan bersuara.
“Kedah boleh bercakap. Negeri lain tak mahu bercakap, nanti terancam. Memang kerja saya bangkitkan hal ini untuk manfaat negeri saya,” katanya.
Pada Isnin, ketika berucap pada ‘SG4 Business & Economic Forum 2026’, Sanusi menegaskan penerokaan REE berpotensi menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu Kedah, namun pembangunan industri itu perlu merangkumi keseluruhan rantaian nilai daripada pengesahan sumber mineral dan pengekstrakan terkawal hingga pemprosesan.
Ia tidak seharusnya terhad kepada aktiviti pengekstrakan dan penjualan bahan mentah, bagi memastikan Kedah memperoleh pulangan ekonomi yang munasabah.
“Ia bergantung kepada dasar Kerajaan Persekutuan. Bila ditanya kenapa lambat, tak boleh ekstak REE, alasan diberikan national security. Jadi kami perlu tunggu mungkin 100 tahun sebab ‘national security’. ‘Don’t play play’.
“Bila kita nak kaya sikit, mereka kata ‘national security’, seolah negeri tiada hak untuk kaya, biar Persekutuan saja kaya-raya, kemudian mereka cekik kita dan label kita miskin. Ini taktik, jika tidak kita kaya lama dah,” katanya.

Tiada ulasan