Header Ads

test

KEDAH MAHU MUNCUL SEBAGAI DESTINASI PELABURAN INDUSTRI BERTEKNOLOGI TINGGI

 

Roslinda Hashim
KULIM - Kerajaan Kedah mahu menjadikan negeri itu sebagai destinasi pelaburan industri berteknologi tinggi dengan membangunkan ekosistem perindustrian kukuh bagi menarik syarikat global, selain memperluaskan perniagaan tempatan serta menyediakan pekerjaan berkemahiran tinggi.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, Kerajaan Negeri komited membina ekosistem perindustrian yang membolehkan syarikat global mengembangkan operasi, serta membuka peluang kepada syarikat tempatan menyertai rantaian bekalan industri.
Menurutnya, Kedah mempunyai kekuatan untuk mencapai aspirasi itu menerusi kawasan perindustrian yang kukuh seperti Kulim, serta memiliki ekosistem pembuatan berteknologi tinggi yang semakin berkembang.
“Aspirasi kami bukan sekadar membawa lebih banyak kilang ke Kedah. Kami mahu bina ekosistem perindustrian lebih kukuh, yang membolehkan syarikat global terkemuka mengembangkan perniagaan, dan syarikat tempatan turut berkembang bersama selain rakyat menikmati peluang kerjaya lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan kilang kedua Ferrotec Manufacturing Malaysia di Padang Meha, di sini, hari ini.
Sanusi berkata, usaha menarik pelaburan hanyalah langkah pertama kerana Kerajaan Negeri juga bertanggungjawab memastikan pelabur dapat mengembangkan perniagaan dan mencapai kejayaan di Kedah.
Katanya, ia memerlukan penyelarasan berkesan antara agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan, selain penyediaan infrastruktur bersesuaian serta tenaga kerja yang mempunyai kemahiran mengikut keperluan industri.
“Pendekatan kita bukan sekadar meluluskan pelaburan. Sebaliknya, memudah cara pelaburan, menyokong pelaksanaannya dan membina hubungan jangka panjang dengan pelabur.
“Ia juga memerlukan sebuah kerajaan yang bersedia mendengar pandangan pelabur serta bekerjasama secara konstruktif untuk menangani cabaran dihadapi.
“Kita mahu Kedah diiktiraf sebagai destinasi yang berdaya saing, mesra pelabur dan bersedia menghadapi keperluan masa depan bagi industri bernilai tinggi,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga mahu memastikan penglibatan dengan pihak industri dilaksanakan secara praktikal dan berorientasikan penyelesaian, khususnya dalam menangani isu infrastruktur, keperluan tenaga kerja, penyelarasan kerajaan dan operasi.
“Apabila pelabur berhadapan cabaran, agensi berkaitan perlu bekerjasama mengenal pasti penyelesaian bersesuaian,” katanya.
Tambah Sanusi, persaingan mendapatkan pelaburan berkualiti tinggi semakin sengit, justeru Kedah perlu terus menambah baik persekitaran pelaburan, membangunkan infrastruktur serta memperkukuh tenaga kerja berbakat.
“Kerjasama antara kerajaan, pihak industri, universiti, institusi pendidikan, latihan teknikal dan vokasional (TVET) juga penting bagi memastikan kemahiran tenaga kerja tempatan seiring dengan perkembangan teknologi.
“Pelabur mempunyai banyak pilihan, Kedah tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian sedia ada. Kita perlu pastikan kemudahan yang disediakan kekal responsif terhadap perubahan keperluan industri,” katanya.
Tambahnya lagi, kehadiran teknologi canggih oleh syarikat global perlu disusuli dengan peningkatan keupayaan tenaga kerja supaya rakyat mendapat manfaat daripada perkembangan industri berkenaan.
“Pelaburan memberikan impak berkekalan bukan sahaja dengan mewujudkan pekerjaan tetapi juga membangunkan kemahiran dan keupayaan untuk manfaat rakyat pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berharap pengembangan operasi syarikat global turut membuka lebih banyak peluang kepada syarikat tempatan untuk menyertai rantaian bekalan sokongannya, tertakluk pada piawaian teknikal, kualiti dan operasi yang ditetapkan.
Katanya, langkah itu membolehkan manfaat ekonomi daripada pelaburan berskala besar diperluas kepada perniagaan tempatan sekali gus memperkukuh keseluruhan ekosistem perindustrian negeri.
“Kita mahu pelabur yang memilih Kedah yakin bahawa mereka dapat menubuhkan operasi, mengembangkan perniagaan dan membina masa depan jangka panjang bersama-sama.
“Pelaburan berskala besar penting, ia menyumbang kepada peluang pekerjaan, peningkatan keupayaan teknologi, pembangunan kemahiran, serta pertumbuhan industri sokongan,” katanya.
Tegas beliau, Kerajaan Negeri kekal komited menjadi rakan kerjasama yang konstruktif kepada pihak industri bagi memastikan Kedah terus menjadi destinasi pilihan pelaburan jangka panjang.

Tiada ulasan