KEDAH SASAR MUNCUL SEBAGAI HAB TENAGA BOLEH BAHARU, PERKUKUH LOGISTIK UTARA
Roslinda Hashim
KUALA LUMPUR - Kedah merancang pembangunan Zon Tenaga Boleh Baharu (REZ) berkapasiti lima gigawatt (GW), selain memperkukuh rangkaian logistik menerusi cadangan Kedah Aerotropolis, Pelabuhan Jerlun dan hab tenaga gas asli cecair (LNG) di Pulau Bunting, Yan.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perancangan itu merupakan sebahagian strategi jangka panjang negeri untuk meningkatkan keselamatan tenaga, menyokong pertumbuhan industri hijau dan menarik pelaburan bernilai tinggi.
Menurut beliau, cadangan REZ itu meliputi kira-kira 10,000 ekar kawasan pembangunan yang dikenal pasti di beberapa lokasi strategik termasuk Bukit Kayu Hitam, Gurun dan selatan Kulim.
“Pelaburan memerlukan keyakinan, keyakinan memerlukan infrastruktur. Oleh itu, fasa pembangunan seterusnya menuntut pelaburan yang teliti dan strategik dalam aspek kesalinghubungan, logistik dan tenaga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena SG4 Business & Economic Forum 2026 bertemakan ‘Four States, One Economic Vision’, di sini hari ini.
Sanusi berkata, Kedah turut mempunyai kira-kira 492 megawatt projek solar sedia ada yang boleh melengkapi usaha memperkukuh bekalan tenaga bersih untuk memenuhi keperluan sektor perindustrian.
Katanya, bekalan elektrik yang stabil dan lebih bersih semakin penting bagi menyokong pengembangan industri pembuatan serta meningkatkan daya saing Kedah sebagai destinasi pelaburan.
“Pembangunan solar, penyelesaian penggunaan tenaga sendiri, infrastruktur tenaga dan teknologi masa hadapan yang berpotensi boleh melengkapi kekuatan sektor pembuatan kita,” katanya.
Menyentuh cadangan hab tenaga dan LNG di sekitar Pulau Bunting, Yan, beliau berkata, perkembangan berkaitan terminal penggasan semula LNG luar pesisir turut membuka ruang kepada pembangunan aktiviti sokongan seperti pemindahan maritim, penghantaran gas dan penjanaan tenaga berasaskan gas.
“Gas Malaysia mengumumkan cadangan terminal itu, termasuk perjanjian pembangunan dengan rakan antarabangsa. Ia merangkumi kemudahan penyimpanan dan penggasan semula terapung dengan kapasiti sehingga enam juta tan setahun.
“Infrastruktur gas boleh menyumbang kepada fleksibiliti bekalan ketika kita berusaha menuju kepada campuran tenaga yang lebih bersih dan pelbagai,” katanya.
Sanusi berkata, cadangan Kedah Aerotropolis yang menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kargo Kulim (KXP) sebagai komponen utama juga berpotensi memperkukuh keupayaan kargo udara dan logistik di wilayah utara.
Beliau berkata, pembangunan itu bukan sekadar melibatkan pembinaan lapangan terbang, malah merangkumi pergudangan, pengendalian kargo bernilai tinggi, perkhidmatan aeroangkasa serta hubungan lebih erat antara pengilang dengan pasaran global.
“Cadangan itu masih tertakluk kepada pertimbangan teknikal dan kelulusan Kerajaan Persekutuan. Pendekatan kita adalah untuk menangani semua keperluan secara profesional dan mengemukakan bukti kukuh mengenai nilai ekonomi projek tersebut,” katanya.
Sanusi berkata, pendekatan sama turut digunakan terhadap cadangan Pelabuhan Jerlun yang berpotensi menyokong pergerakan kargo, pergudangan, perkhidmatan perkapalan dan perdagangan serantau.
Namun, pembangunan pelabuhan itu perlu berasaskan permintaan sebenar, daya maju komersial, perlindungan alam sekitar serta integrasi berkesan dengan rangkaian jalan raya dan pengangkutan lain.
Bagaimanapun, katanya, setiap komponen pembangunan perlu melalui penilaian, kelulusan dan keputusan pelaburan tersendiri bagi memastikan pelaksanaannya berdaya maju.
Dalam aspek kesalinghubungan darat, Kedah turut merancang Lebuh Raya Koridor Utara melibatkan jajaran sepanjang 77 kilometer, menghubungkan koridor Bandar Baharu dan Sungai Petani.
“Jaringan jalan raya yang lebih baik mampu memendekkan tempoh perjalanan, meningkatkan kecekapan logistik, memperluas akses ke kawasan perindustrian dan membuka peluang perniagaan di luar pusat pertumbuhan utama,” katanya.
Beliau tegaskan, semua projek berkenaan perlu dirancang sebagai satu sistem bersepadu supaya kawasan perindustrian dapat dihubungkan melalui rangkaian jalan raya yang cekap, disokong bekalan tenaga yang boleh dipercayai serta kemudahan logistik dan tenaga kerja mencukupi.
Katanya, pelaksanaan projek berskala besar juga perlu mengambil kira penggunaan tanah yang munasabah, ketelusan penilaian, disiplin kewangan, perlindungan alam sekitar serta rundingan dengan pihak berkepentingan dan pihak berkuasa Persekutuan.
Post a Comment