Header Ads

test

HAB PERINDUSTRIAN STRATEGIK PERKUKUH KEMASUKAN PELABURAN KE KEDAH

 

Roslinda Hashim
KUALA LUMPUR - Kekuatan sektor perindustrian Kedah disokong oleh beberapa kawasan perindustrian strategik yang memainkan peranan dalam menarik pelaburan, mewujudkan pekerjaan dan memperkukuh kedudukan negeri dalam rantaian bekalan serantau serta global.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, antara hab pembuatan berteknologi tinggi terkemuka negara ialah Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP).
Menurutnya, KHTP merekodkan pelaburan terkumpul RM146 bilion dengan 23,556 peluang pekerjaan sepanjang tempoh 2021 hingga 2025, sekali gus memperkukuh kedudukan Kedah sebagai hab pembuatan berteknologi tinggi negara.
“Pencapaian itu mencerminkan keyakinan pelabur terhadap keupayaan perindustrian, infrastruktur dan tenaga kerja berkemahiran di negeri ini.
“Matlamat kita bukan sekadar menarik pelaburan. Kita turut komited memastikan pelaburan tersebut menjana manfaat ekonomi yang bermakna kepada rakyat melalui pekerjaan berkualiti, pemindahan teknologi, pembangunan kemahiran dan penyertaan lebih besar perusahaan kecil dan sederhana tempatan dalam rantaian bekalan industri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada SG4 Business & Economic Forum 2026 bertemakan ‘Four States, One Economic Vision’, hari ini.
Selain KHTP, Kawasan Perindustrian Kulim turut memperkukuh ekosistem pembuatan yang merekodkan pelaburan terkumpul RM16.4 bilion dengan 13,489 peluang pekerjaan dalam tempoh sama.
Kawasan Perindustrian Gurun pula mencatatkan pelaburan terkumpul RM5.1 bilion serta 3,023 peluang pekerjaan, mengukuhkan industri pembuatan dan industri berkaitan automotif di Kedah.
Manakala Kedah Rubber City (KRC) di Padang Terap merekodkan pelaburan RM2.6 bilion dengan 3,519 peluang pekerjaan, menyokong pembangunan industri berasaskan getah bernilai tambah tinggi serta memperkukuh aktiviti pembuatan hiliran.
Menurut Sanusi, pencapaian itu menunjukkan pertumbuhan perindustrian Kedah tidak tertumpu di satu lokasi sahaja, sebaliknya berkembang menerusi ekosistem yang pelbagai dan seimbang dari segi geografi.
“Agenda pembangunan perindustrian menerusi The Greater Kedah bukan sekadar mahu menjadikan Kedah destinasi pelaburan, tetapi membina kuasa perindustrian yang berdaya saing, berdaya tahan dan inklusif,” ujarnya.
Katanya, usaha itu perlu disokong oleh proses pemudahcaraan yang cekap, peraturan jelas, infrastruktur mencukupi, kemudahan utiliti yang boleh dipercayai serta kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, agensi Persekutuan dan pelabur.
“Keberhasilan sebenar dicapai apabila projek dilaksanakan, pembekal dilibatkan dan masyarakat setempat mula menerima manfaat.
“Apabila sebuah syarikat besar membuka kemudahan operasinya, kesan ekonominya akan menjadi jauh lebih besar jika perniagaan tempatan berupaya membekalkan komponen, menyediakan perkhidmatan teknikal, menyelenggara peralatan, menguruskan logistik dan membangunkan keupayaan baharu,” katanya.
Sehubungan itu, beliau tegaskan, pembangunan pembekal tempatan, peningkatan kemahiran tenaga kerja dan pemindahan teknologi perlu menjadi komponen penting dalam strategi menarik pelaburan, bukan sekadar manfaat sampingan.
“Rekod pelaburan yang kukuh perlu diterjemahkan kepada pembentukan komuniti perniagaan tempatan yang lebih teguh.
“Kita mengalu-alukan pelaburan, termasuk industri yang mampan, kemahiran yang kekal dengan perniagaan yang mampu berkembang agar anak muda melihat masa depan mereka di Kedah.
“Tanggungjawab kita adalah membantu merealisasikan hasrat itu menjadi kemudahan yang berfungsi, perniagaan yang beroperasi, pekerja yang terlatih dan manfaat ekonomi yang mampan,” katanya.

Tiada ulasan