NEGERI SG4 TERBUKA KAJI TEKNOLOGI NUKLEAR BERSKALA KECIL
Roslinda Hashim
KUALA LUMPUR - Negeri-negeri di bawah kerjasama SG4 terbuka untuk menjadi perintis kajian penggunaan teknologi nuklear baharu, termasuk reaktor modular kecil (SMR), sebagai alternatif penjanaan tenaga pada masa depan.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, teknologi berkenaan wajar dipertimbangkan sebagai pilihan untuk memenuhi keperluan tenaga negara, selain mengkaji potensi pelaksanaannya di negeri-negeri SG4 (Kedah, Perlis, Terengganu, Kelantan) atau kawasan lain di Malaysia.
“Kita sangat terbuka terhadap cadangan tersebut dan bersedia meneliti sebarang peluang untuk mengkajinya dengan lebih lanjut.
“Sama ada di negeri-negeri SG4 mahupun di kawasan lain di Malaysia, kita terbuka pertimbangkan sekiranya kita mengambil alih kuasa pemerintahan selepas PRU16,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena SG4 Business & Economic Forum 2026 bertemakan ‘Four States, One Economic Vision’, hari ini.
Menteri Besar Terengganu itu berkata, perbincangan mengenai tenaga nuklear semakin mendapat perhatian ketika Malaysia meneroka pilihan bagi memenuhi keperluan tenaga pada masa depan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, cadangan yang dimaksudkan bukanlah pembinaan loji tenaga nuklear berskala besar, sebaliknya teknologi reaktor berskala kecil yang mampu menghasilkan tenaga dalam jumlah lebih rendah.
“Namun, saya fikir perkara yang boleh kita pertimbangkan untuk Malaysia ialah reaktor nuklear mudah alih atau reaktor nuklear berskala kecil.
“Reaktor seperti ini sudah tentu menghasilkan tenaga dalam jumlah yang lebih kecil,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, pndangan beliau berasaskan pengalamannya melawat loji tenaga nuklear di luar negara bagi melihat sendiri skala reaktor serta kemudahan yang digunakan.
Cadangan berkenaan membuka ruang untuk kajian lanjut mengenai potensi teknologi nuklear sebagai sebahagian daripada pilihan tenaga negara, termasuk kesesuaiannya dari segi lokasi dan pelaksanaan pada masa depan.
Post a Comment