Header Ads

test

ORANG RAMAI DIMINTA WASPADA PENIPUAN MENYAMAR WAKIL TOUCH ‘N GO

 

Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Orang ramai diminta lebih berhati-hati dengan panggilan telefon daripada individu yang mendakwa wakil Touch ‘n Go dan menawarkan kad baharu kononnya dengan pelbagai manfaat.
Helah itu digunakan pihak tertentu bagi mengaburi penipuan di sebalik panggilan telefon yang boleh menyebabkan akaun Touch ‘n Go eWallet diambil alih.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusoff mendedahkan, pihaknya menerima laporan berhubung kes penipuan berkenaan yang menyaksikan pengguna mengalami kerugian selepas mengikuti arahan yang diberikan oleh individu terbabit.
“Individu tersebut menawarkan kad Touch ‘n Go baharu yang didakwa memberikan pelbagai manfaat termasuk mata ganjaran, baucar daripada kedai terpilih dengan diskaun sehingga 80 peratus serta kemudahan berbelanja di luar negara.
“Selepas pengguna bersetuju untuk mendapatkan kad baharu itu, mereka diminta membuka aplikasi Touch ‘n Go eWallet dan mengikuti arahan tertentu yang diberikan oleh pemanggil.
“Tanpa disedari, pihak berkenaan kemudian mengambil alih aplikasi tersebut dan dapat menggunakan aplikasi milik mangsa,” katanya.
Menurut Mohamad Yusrizal, perkara itu amat membimbangkan kerana aplikasi berkenaan mengandungi pelbagai nilai dan manfaat pengguna termasuk Budi95, mata ganjaran serta nilai wang yang menyebabkan mangsa mengalami kerugian.
Beliau turut menasihati pengguna yang menjadi mangsa penipuan itu agar segera membuat laporan kepada pihak Touch ‘n Go dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Pengguna perlu lebih berhati-hati dengan sebarang tawaran yang disampaikan melalui panggilan telefon.
“Pada masa kini, pelbagai helah digunakan untuk melakukan penipuan dan pengguna tidak seharusnya mudah percaya atau mengikut arahan individu yang tidak dikenali,” katanya.

Tiada ulasan