Header Ads

test

PROJEK LITAR LUMBA DIKAITKAN KES PECAH AMANAH RM40 JUTA

 

“URUSAN SYARIKAT TERLIBAT, TIADA KAITAN DENGAN SAYA” - SANUSI
Roslinda Hashim
PADANG TERAP - Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan projek Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani yang terbengkalai dan berhadapan kes pecah amanah mencecah RM40 juta, tiada kaitan dengan dirinya.
Beliau berkata, projek berkenaan membabitkan urusan antara syarikat dengan syarikat swasta, dan Kerajaan Negeri juga tidak mempunyai kaitan dengan kes yang dilaporkan.
“Itu antara syarikat dengan syarikat terbabit. Tak ada kaitan dengan Kerajaan Negeri atau saya. Banyak orang cakap macam-macam sebab mereka tak tahu apa-apa (hal sebenar),” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Hakmilik (Geran) dan Kunci Rumah Desa Sejahtera, Kampung Perik, Mukim Kurong Hitam di sini, hari ini.
Menurut Sanusi, beliau juga tidak mengetahui secara terperinci mengenai pihak yang ditahan atau pihak yang mendakwa kehilangan wang dalam kes tersebut dan menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.
“Saya nak jawab bagi pihak orang, tak boleh. Pergi cari syarikat terbabit. Orang itu pun saya tak kenal. Siapa kena tahan saya tak tahu. Siapa yang duit hilang pun saya tak tahu,” katanya.
Beliau turut kesal apabila terdapat pihak yang mengaitkan dirinya dengan kes berkenaan tanpa mengetahui fakta sebenar.
“Jadi macam mana tuduh Sanusi? Dia kata ‘Nusi balas RM40 juta pula. Tak payahlah fitnah kalau tak tahu apa-apa,” katanya.
Baru-baru ini, media melaporkan seorang pengarah syarikat wanita berusia 30-an ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes pecah amanah kira-kira RM40 juta berkaitan projek litar lumba berkenaan.
Suspek ditahan pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Bukit Aman di Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Sanusi menjelaskan kelewatan projek berkenaan berpunca daripada keperluan untuk menyemak semula skala dan struktur projek supaya selaras dengan kedudukan tanah serta kemampuan kewangan kerajaan.
Menurutnya, Kerajaan Negeri terdahulu menerima RM30 juta daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), dengan RM10 juta digunakan untuk urusan tanah, manakala berbaki RM20 juta.
“Punca kelewatan projek ini saya pernah cerita dulu. Kerajaan Negeri sebelum ini mahu besarkan litar jadi macam Sepang International Circuit (SIC), reka bentuknya bernilai RM73 juta dan menunggu kelulusan tambahan RM40 juta.
“Bila kita ambil alih pentadbiran, kita kaji balik. Walaupun projek nak diteruskan, kita kembali kepada pelan asal berskala kecil dan bersesuaian. Tak perlulah sampai standard SIC,” katanya.
Tambah beliau, perubahan tersebut memerlukan permohonan Kebenaran Merancang (KM) baharu selain beberapa urusan berkaitan status tanah.
Katanya, kerajaan juga perlu memastikan perbelanjaan menggunakan wang awam dibuat di atas tanah milik kerajaan dan bukannya tanah syarikat.
“Dulu mereka belanja duit kerajaan atas tanah syarikat. Duit kerajaan tak boleh belanja atas tanah syarikat. Ia kena dibelanja atas tanah kerajaan. Ini perlu diperbetulkan.
“Sama ada tanah itu dijadikan tanah syarikat atau projek itu dijadikan projek kerajaan dengan tanah-tanah itu sekali. Jadi banyaklah urusannya,” katanya.
Sanusi berkata, Kerajaan Negeri kini masih meneliti sama ada projek tersebut akan diteruskan sebagai projek swasta atau kerajaan, bergantung kepada skala dan kemampuan kewangan.
“Kalau di luar kemampuan kerajaan, swastalah yang jalankan. Kalau dalam lingkungan yang kerajaan mampu belanja, kita beli projek itu. Benda-benda itu kerajaan sedang urus,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerja di tapak projek masih berjalan dan beliau sendiri pernah meninjau perkembangan projek itu.
“Difahamkan di tapak projek itu kerja berjalan. Saya ada tinjau ke tapak sebelum ini dan tengok mereka ada buat kerja-kerja di sana,” katanya.
Beliau turut membuat perbandingan dengan mengambil contoh pemilik tanah dan tuan rumah jika masih tidak memahami situasi yang berlaku.
“Ibarat kerajaan ada tanah, nak buat rumah. Kita tawar kepada syarikat yang ada kemampuan kewangan. Mereka datang bina rumah atas tanah kerajaan dan jual.
“Masa nak buat rumah, dia takda duit dan cari kawan-kawan sebagai rakan kongsi. Dia pinjam duit mereka dan kemudian pelari duit mereka, dakwa ada fraud sesama mereka. Tak kan pula kerajaan yang salah, tuan tanah disalahkan,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Sanusi mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat tuduhan melulu atau mengaitkan lagi Kerajaan Negeri serta dirinya dengan perkara yang tidak sahih.
“Hangpa ni cari dosa kering. Mana boleh buat begitu. Kalau yang buat fitnah tu bukan Islam tak apa, mati masuk neraka. Kalau yang tabur fitnah tu Islam, berdosa. Selagi tak minta ampun, risiko masuk neraka besar berbanding syurga, sebab fitnah orang. Jadi tak payah fitnah kalau tak tahu apa-apa.
“Banyakkan istighfar, ingat Tuhan, ingat mati. Dunia ini akan berakhir. Apa yang ditulis itu akan dibaca sampai berpuluh-puluh tahun. Jangan buat dosa. Carilah pahala. Hidup ini sementara. Dunia ini sangat-sangat singkat, akhirat itu panjang,” katanya.
Beliau turut menyifatkan pemfitnah dirinya itu kemungkinan memiliki pemikiran yang bercelaru.
“Kait dengan Kerajaan Negeri, dengan Sanusi. Itu dosa. Saya tak ampun. Hangpa tanggunglah, sapa suruh buat,” katanya.

Tiada ulasan