ORANG YANG PANDAI BERPIDATO BELUM TENTU PANDAI BEKERJA - SANUSI
Roslinda Hashim
TANGGA BATU - Orang yang petah berpidato dan mampu membakar semangat menerusi ucapan belum tentu mempunyai keupayaan melaksanakan tugas dengan baik, kata Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Beliau berkata, seseorang pemidato bukan sahaja perlu mempunyai kebolehan berkomunikasi, malah perlu memiliki ilmu, pengalaman dan kemampuan bekerja supaya setiap perkara yang disampaikan bukan sekadar retorik.
Menurut Menteri Besar Kedah itu, terdapat individu yang kelihatan hebat ketika berucap tetapi sebenarnya hanya mengulangi teks yang disediakan pihak lain tanpa memahami sepenuhnya perkara yang diperkatakan.
"Orator (pemidato) tak semestinya pandai. Apa yang dia cakap itu mungkin ditulis oleh orang lain, dia jadi burung kakak tua.
"Orator perlu ada akal dan pengalaman sendiri, barulah boleh jadi orator yang berkualiti," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Paya Rumput, Rafie Ahmad, pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, hari ini.
Mengulas lanjut, Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN berkata, berdasarkan pengalamannya, beliau mendapati mereka yang petah bercakap tidak semestinya mampu menterjemahkan kemampuan itu kepada pelaksanaan tugas.
“Orang yang pandai cakap, selalu tak pandai buat kerja,” katanya.
Beliau mengambil contoh prestasi Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang disifatkannya lantang ketika berceramah, namun pencapaiannya ketika menerajui kementerian berkenaan dipersoalkan.
Katanya, isu berkaitan bekalan beras tempatan, nasib pesawah, baja dan benih padi masih menjadi persoalan yang perlu diberikan perhatian.
"Saya dengar ceramah dia sejak tahun 1980-an, memang berapi-api. Tetapi apabila pegang kementerian, apa jadi? Beras tempatan hilang, nasib pesawah, baja, padi dan benih semua tak selesai.
"Orang pandai bercakap berapi-api, berdegar-degar, tetapi kerja ke laut. Ceramah pandailah. Jadi minta maaflah Abang Mat, saya cakap benda yang benar," katanya.
Sanusi berkata, gabungan kebolehan berpidato dan keupayaan melaksanakan kerja bukan sesuatu yang mudah ditemukan kerana kedua-duanya memerlukan kemahiran berbeza.
"Nak dapat orang macam Sanusi, cakap pandai, kerja pandai, susah," katanya secara berseloroh.

Post a Comment