PRINSIP FEDERALISME PERLU ADIL, PEMBANGUNAN SEMUA NEGERI HARUS SEIMBANG - SANUSI
Roslinda Hashim
TANGGA BATU - Prinsip federalisme perlu memastikan pembangunan diagihkan secara adil dan seimbang kepada semua negeri yang menyerahkan sebahagian kuasa kepada Kerajaan Persekutuan, bukannya tertumpu kepada negeri tertentu sahaja.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, setiap negeri berhak menikmati pembangunan dan kemudahan infrastruktur yang setara tanpa dipengaruhi perbezaan fahaman politik antara Kerajaan Negeri dengan Persekutuan.
Menurutnya, ketidakseimbangan agihan peruntukan pembangunan menyebabkan negeri seperti Kedah terus berdepan kekangan dalam usaha membangunkan infrastruktur, memelihara kawasan pertanian serta melindungi kawasan tadahan air dan hutan.
"Negeri-negeri serah kuasa kepada Persekutuan untuk mengimbangi pembangunan supaya berlaku pembangunan seimbang antara negeri-negeri yang menyerahkan kuasa itu.
"Tak boleh beri tumpuan kepada negeri tertentu sahaja sebab semua negeri serah kuasa kepada Persekutuan. Perlu bagi sama rata," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Paya Rumput, Rafie Ahmad, pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, hari ini.
Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN berkata, perbezaan hubungan politik antara Kerajaan Negeri dengan Persekutuan turut mempengaruhi keutamaan pemberian peruntukan apabila negeri yang tidak sehaluan dengan Putrajaya berdepan kesukaran mendapatkan pembiayaan bagi projek pembangunan.
Beliau memberikan contoh peruntukan RM16 bilion bagi Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP), sedangkan permohonan Kedah untuk pemeliharaan kawasan pertanian dan hutan masih belum mendapat perhatian sewajarnya.
"Kita tidak pegang kuasa di Putrajaya. Kita minta untuk pengekalan kawasan pertanian, kawasan tadahan air dan hutan. Kita minta RM170 juta untuk padi, RM100 juta untuk pengekalan hutan, tetapi tak pernah dapat.
“Sistem politik kita macam itulah. Kalau negeri tak sealiran politiknya, pembangunan negeri itu akan perlahan. Itulah nasib kita. Jadi kena ada perubahan di Putrajaya.
“Federalisme yang sebenarnya menguntungkan siapa?” soal beliau.
Beliau berkata, sekiranya peruntukan besar seperti diberikan kepada Pulau Pinang diagihkan kepada negeri-negeri yang masih ketinggalan dari segi infrastruktur dan bekalan air, lebih banyak kawasan dapat menikmati pembangunan.
“Kenapa tumpu Pulau Pinang? Sebab Pulau Pinang ada DAP. DAP pegang kuasa di Putrajaya. Jangan amalkan pilih kasih. Walaupun Pulau Pinang kecil, sudah padat, jambatan nak jadi tiga, diberi lagi PTMP, sedangkan Kedah lebih memerlukan,” katanya.
Tambah beliau, tanggungjawab membangunkan negeri tidak boleh diletakkan sepenuhnya kepada Kerajaan Negeri kerana kebanyakan penyediaan kemudahan infrastruktur terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan.
"Kalau bab miskin serah kepada negeri, bab kaya dia ambil kepada dia, tak betul cara itu. Kemudian dimomokkan negeri ini miskin,” katanya.
Sanusi jelaskan, ketidakseimbangan pembangunan itu sudah berlaku sejak dahulu, termasuk di negeri yang ditadbir PAS seperti Kedah dan Kelantan.
“Ada negeri-negeri sengaja tidak dibangunkan infrastruktur. Bila ada sikap seperti itu negeri takkan membangun kerana pilih kasih. Dibangunkan negeri-negeri pilihan seperti di Lembah Klang yang undi mereka banyak,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mahu kelemahan dasar pembangunan diperbetulkan dan tidak terus diwarisi sehingga membantutkan kemajuan negara.
"Jangan diteruskan apa yang telah terjadi pada masa lalu. Berlaku adil di semua negeri, kaum dan bangsa. Jangan ditekan kerana kita PAS. Kerana parti dia tak ada di situ, dia pun tak bagi keutamaan. Itu salah," katanya.
Beliau turut mengingatkan golongan muda supaya memahami pembahagian bidang kuasa antara Kerajaan Negeri dengan Persekutuan agar dapat mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap sesuatu isu pembangunan.
Sanusi turut mengingatkan agar amalan politik perlu berlandaskan kejujuran dan kebenaran, bukannya dijadikan alasan untuk melakukan apa sahaja sehingga menghalalkan perbuatan yang tidak betul.
Katanya, setiap tindakan dalam politik mempunyai dosa dan pahala, sama seperti bidang kehidupan lain, justeru pemimpin perlu bertanggungjawab terhadap setiap perbuatan mereka.
“Politik pun ada syurga dan neraka, ada dosa dan pahala. Tak boleh buat sesuka hati, bercakap benarlah dan jangan suka spin sana sini.
“Perbetulkan sekarang, jangan buat dosa baru, sucikan dosa lama, lakukan sekarang,” katanya.

Post a Comment