Header Ads

test

“ORANG YANG TAK PANDAI CAKAP BAHASA MELAYU TIDAK PULA DIPERTIKAI” - SANUSI

 

Roslinda Hashim
TANGGA BATU - Rakyat Malaysia yang tidak mampu bertutur dalam bahasa Melayu sepatutnya menjadi perhatian, bukannya hanya mempertikaikan kemampuan seseorang berbahasa Inggeris.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor. berkata, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara sewajarnya dikuasai terlebih dahulu oleh setiap rakyat Malaysia, termasuk wakil rakyat yang dipilih untuk berkhidmat kepada masyarakat.
Katanya, agak menghairankan apabila ada pihak lantang mengkritik penggunaan bahasa Inggeris yang kurang fasih, sedangkan isu individu yang tidak mampu bertutur dalam bahasa Melayu tidak pula dipersoalkan.
"Orang duduk di Malaysia tak cakap Melayu pun ada, tak reti (pandai) cakap Melayu pun ada. Itu yang patut dipertikaikan.
"Oleh kerana kita duduk di Malaysia, negara ini bahasa rasminya bahasa Melayu dengan tulisan Rumi dan Jawi, jadi kuasailah bahasa Melayu dahulu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Paya Rumput, Rafie Ahmad, pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, hari ini.
Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN berkata, wakil rakyat khususnya wajar menunjukkan contoh yang baik dengan fasih berbahasa Melayu berbanding bahasa Inggeris.
“Yang tak reti cakap Melayu hangpa tak bising, yang komen bahasa Inggeris saya semua Melayu.
“Ada tak reti bahasa Melayu, tak kata apa pun. Wakil rakyat patutkah cakap bahasa Melayu pun tak betul, ‘terbulu-bulu’ (terburu-buru), saya pun hairan mereka ini,” katanya.
Tambah beliau, keupayaan berbahasa Inggeris bukan penentu kemajuan sesebuah negara kerana banyak bangsa dan negara berjaya membina pengaruh serta kekuatan ekonomi tanpa menjadikan bahasa itu sebagai keutamaan.
Katanya, beliau pernah berkomunikasi dengan pemimpin dari China dan Jepun menggunakan bahasa isyarat apabila tiada penterjemah, kerana mereka tidak fasih berbahasa Inggeris.
"Tapi mereka mampu menguasai dunia. Orang Jepun ramai tak tahu cakap Inggeris, guna penterjemah. Ada orang Jepun datang belajar bahasa Melayu, duduk tiga bulan pun boleh pandai bahasa Melayu.
"Orang yang tidak pandai cakap bahasa Inggeris itu perkara biasa. Broken English normal. ‘Orang putih’ tak kata apa, hangpa yang lebih-lebih,” katanya.
Tambah beliau, kritikan berlebihan terhadap penguasaan bahasa Inggeris tidak seharusnya menyebabkan masyarakat memandang rendah bahasa sendiri atau terlalu mengagungkan bahasa asing.
“Ini bukan sesi bela diri tapi realiti. Tak payah berlebih-lebihan, tak payah mengagung-agungkan ‘Mat Saleh’. Setakat patut sudahlah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kritikan pengguna media sosial berhubung penyampaian ucapan bahasa Inggerisnya ketika ‘SG4 Business & Economic Forum 2026’ pada Isnin lalu.
Dalam pada itu, Sanusi menyifatkan Sasterawan Negara, Allahyarham Prof. Emeritus Datuk Dr. Shahnon Ahmad sebagai guru yang banyak mempengaruhi pemikiran dan kecintaannya terhadap bahasa serta kesusasteraan.
Katanya, Shahnon yang berasal dari Sik, Kedah, banyak mengangkat latar kehidupan masyarakat di daerah itu menerusi karya agungnya, Ranjau Sepanjang Jalan.
Beliau berkata, latar kehidupan masyarakat marhaen yang tertindas menjadi asas kepada penulisan Shahnon yang menggunakan karya sastera sebagai wadah untuk mendedahkan realiti kehidupan dan membela golongan berkenaan.
"Beliau membela masyarakat melalui penulisan dengan mendedahkan pelbagai realiti kehidupan menerusi novel dan ketika mengajar di bilik kuliah.
"Saya anggap Shahnon sebagai guru. Malah, saya panggil beliau Cikgu Shahnon," katanya.
Sanusi berkata, keistimewaan Shahnon juga terserlah menerusi keberaniannya mengangkat bahasa masyarakat kampung di Sik sebagai bahasa sastera yang mempunyai nilai dan keindahan tersendiri.
Malah, katanya, terdapat perkataan dialek tempatan seperti 'bersipongang' yang membawa maksud lantunan bunyi yang berpatah balik selepas terkena objek seperti pokok atau batu sebelum meluru ke arah lain.
Katanya, kekayaan bahasa masyarakat setempat itu membuktikan bahasa Melayu mempunyai keindahan dan keupayaan tersendiri yang wajar dihargai.

Tiada ulasan