Header Ads

test

PELABURAN BAHARU RM1 BILION FORTUNE PRECISION DI KHTP

 

BAKAL WUJUDKAN 1,500 PELUANG PEKERJAAN
Roslinda Hashim
BEIJING, CHINA - Kedah bakal menerima pelaburan bernilai RM1 bilion daripada Shenyang Fortune Precision Equipment Co. Ltd. yang dijangka mewujudkan 1,500 peluang pekerjaan baharu, khususnya untuk tenaga kerja tempatan.
Pelaburan strategik itu dimeterai menerusi Perjanjian Pajakan Tanah Industri antara Kulim Technology Park Corporation (KTPC) dengan Fortune Precision bagi Lot 70446, IZP 2 di Kulim Hi-Tech Park (KHTP).
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, pelaburan itu mengukuhkan kedudukan KHTP sebagai destinasi pelaburan teknologi tinggi di rantau ini.
Menurutnya, kehadiran syarikat berkenaan turut memperkukuh ekosistem industri berteknologi tinggi dan rantaian bekalan semikonduktor di KHTP.
“Pelaburan ini bukan sekadar membawa masuk modal, malah membuka ruang kepada pembangunan bakat tempatan, pemindahan teknologi serta pertumbuhan industri sokongan.
“Kedah tidak boleh sekadar menjadi tempat pelabur membina kilang. Kedah mesti menjadi tempat lahirnya kepakaran, berkembangnya teknologi dan terbentuknya generasi yang mampu bersaing di pentas dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis pemeteraian perjanjian berkenaan bersama pasukan KTPC, diketuai Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Mohd. Sahil Zabidi serta Ketua Pegawai Operasi Invest Kedah, Noor Ikhsan Abdul Aziz, di sini pada Khamis.
Haim Hilman berkata, perkembangan itu mencerminkan keyakinan berterusan pelabur antarabangsa terhadap keupayaan KHTP menyediakan ekosistem perindustrian yang berdaya saing, khususnya dalam sektor semikonduktor.
Katanya, usaha menarik pelaburan berkualiti akan terus diperkukuh bagi memastikan Kedah bukan sahaja mendapat manfaat dari segi pertumbuhan ekonomi, malah mampu melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“Ini adalah satu lagi perkembangan penting dalam usaha memperkukuh kedudukan Kedah sebagai destinasi pelaburan teknologi tinggi di rantau ini, selain memperkukuh hubungan strategik dengan pelabur antarabangsa.
“Aspirasi besar ini akan terus kita usahakan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada KTPC dan semua pihak terlibat dalam merealisasikan pelaburan tersebut, yang disifatkan sebagai satu lagi perkembangan penting dalam usaha memperluas potensi ekonomi negeri.
“Perjalanan membangunkan Kedah memerlukan kesungguhan, kerjasama dan keyakinan bahawa negeri ini mempunyai potensi yang jauh lebih besar untuk diterokai,” katanya.
Shenyang Fortune Precision Equipment Co. Ltd. merupakan syarikat berpangkalan di Shenyang, China, yang ditubuhkan pada 2008 dan mengkhusus dalam pembuatan komponen berketepatan tinggi untuk peralatan semikonduktor.
Antara produk utamanya ialah komponen proses dan struktur, modul peralatan serta sistem penghantaran gas berketulenan tinggi yang digunakan dalam pelbagai proses pembuatan cip.
Syarikat itu turut disenaraikan di Pasaran STAR, Bursa Saham Shanghai pada 2022.
Kehadirannya ke KHTP dijangka memperkukuh rantaian bekalan industri semikonduktor di Kedah, selain berpotensi membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan memperluas penguasaan teknologi pembuatan kalangan tenaga kerja tempatan.

Tiada ulasan