BYD PILIH KULIM, LANTIK INOKOM RAKAN PEMASANGAN KENDERAAN DI MALAYSIA
Roslinda Hashim
KULIM - Pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari China, BYD memilih Inokom Corporation Sdn. Bhd. (Inokom) yang berpangkalan di Kulim sebagai rakan pemasangan tempatan bagi operasi pemasangan kenderaan syarikat itu di Malaysia.
Pelantikan anak syarikat Sime Darby Berhad itu dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani di ibu pejabat global BYD di Shenzhen, China, sekali gus membuka ruang kepada penglibatan lebih besar Kulim dalam industri kenderaan tenaga baharu.
BYD Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, ia antara usaha syarikat berkenaan memperluaskan operasinya di Malaysia menerusi pemasangan kenderaan menggunakan komponen
yang dibekalkan secara berasingan (CKD).
Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma berkata, pemasangan tempatan merupakan sebahagian langkah penting dan komitmen jangka panjang syarikat itu terhadap Malaysia.
“Kerjasama dengan Sime untuk menjalankan pemasangan di Inokom membolehkan kami memanfaatkan keupayaan pembuatan automotif sedia ada ketika meneruskan perancangan pemasangan tempatan.
“Kami berhasrat membawa kepakaran BYD dalam bidang kenderaan tenaga baharu dan teknologi bateri lebih dekat kepada pasaran Malaysia, selain menyumbang kepada pembangunan berterusan industri automotif tempatan,” katanya.
Tambah beliau, pemilihan Inokom dibuat selepas BYD menilai keadaan pasaran tempatan serta keupayaan pembuatan syarikat itu, termasuk kemudahan sedia ada, tenaga kerja dan rantaian bekalan Inokom yang dapat menyokong operasi pemasangan yang dirancang.
Sementara Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, kerjasama itu berpotensi memperkukuh ekosistem automotif tempatan, menyokong perniagaan serta membangunkan keupayaan pembuatan Malaysia.
“Kerjasama ini bukan sahaja melibatkan pemasangan kenderaan, ia berpotensi memperkukuh ekosistem automotif negara, dan menyokong perniagaan tempatan selain membangunkan kepakaran industri dalam jangka panjang,” katanya.
MoU berkenaan ditandatangani Naib Presiden BYD, Liu Xueliang bersama Jeffri, dengan disaksikan Jacob Ma dan Pengarah Urusan Sime Motors Asia Tenggara, Jeffrey Gan.
Perkembangan itu susulan laporan pembatalan rancangan BYD untuk membina kilang pemasangan di Tanjung Malim, Perak, dan beralih ke Kulim berikutan syarat yang ditetapkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkaitan eksport serta harga jualan kenderaan.
Mengikut laporan berkenaan, MITI menetapkan sehingga 80 peratus kenderaan yang dikeluarkan di kilang itu perlu dieksport, manakala baki 20 peratus dijual pada harga melebihi RM200,000 seunit.
Bagaimanapun, model kenderaan yang akan dipasang di Inokom serta jadual permulaan pengeluaran masih belum diumumkan.
Post a Comment