PEMIMPIN MASYARAKAT JADI MATA DAN TELINGA TANGANI KESIHATAN MENTAL RAKYAT
Ku Azizah Ku Hamid
ALOR SETAR – Pemimpin masyarakat di semua peringkat perlu menjadi mata dan telinga rakyat bagi mengesan perubahan tingkah laku individu yang berkemungkinan berdepan masalah kesihatan mental, sekali gus memastikan mereka mendapat bantuan sebelum keadaan menjadi lebih serius.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, perubahan kecil dalam kehidupan seseorang tidak boleh dipandang ringan kerana mungkin menjadi petunjuk awal bahawa individu berkenaan sedang mengalami tekanan atau memerlukan sokongan.
Menurutnya, pembangunan negeri tidak seharusnya diukur berdasarkan kemajuan infrastruktur, bangunan dan pelaburan semata-mata, sebaliknya perlu turut dinilai berdasarkan kesejahteraan mental rakyat.
“Peranan pemimpin masyarakat amat penting sebagai jambatan penghubung antara rakyat dengan saluran bantuan yang tersedia, supaya tiada seorang pun tercicir daripada menerima sokongan yang diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Kedah Minda Sejahtera 2026 Peringkat Negeri Kedah di Dewan Seri Mentaloon, di sini hari ini.
Mansor berkata, peningkatan kadar kemurungan dalam kalangan rakyat bukan sekadar angka dalam statistik kesihatan, sebaliknya mencerminkan pelbagai cabaran kehidupan yang semakin kompleks.
Tambah beliau, antara faktor yang boleh menjejaskan kesejahteraan mental termasuk tekanan kos sara hidup, beban hutang, ketidaktentuan hasil tani, musibah banjir, masalah keluarga, kesunyian dalam kalangan warga emas serta pengaruh media sosial terhadap golongan muda.
Sehubungan itu, katanya, usaha membantu individu yang berdepan masalah kesihatan mental perlu dilaksanakan secara menyeluruh tanpa mengira umur, bangsa, agama, kedudukan mahupun fahaman politik.
“Setiap rakyat yang memerlukan sokongan berhak mendapatkannya,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya masjid, surau, balai raya dan dewan orang ramai dimanfaatkan sebagai ruang selamat untuk masyarakat berkongsi masalah, selain menggalakkan aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, sukan rakyat dan kelas agama bagi mengukuhkan hubungan sosial selain membina persekitaran yang menyokong kesejahteraan mental.
Post a Comment