Header Ads

test

PELABURAN ‘RAHSIA’ RM15 BILION INTAI KEDAH

 

Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kedah bakal menerima pelaburan langsung domestik (DDI) bernilai kira-kira RM15 bilion susulan kehadiran beberapa pelabur yang mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Negeri beberapa hari lalu.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bagaimanapun, butiran pelaburan berkenaan belum boleh diumumkan kerana pelabur terbabit meminta rundingan itu dirahsiakan sehingga pengumuman rasmi dibuat.
“Beberapa hari lepas, ramai datang ke Kedah. Kalau saya kira-kira, campur semua, mereka nak melabur dalam DDI, ada RM15 bilion. Tetapi mereka minta kita diamkan dahulu apa yang nak dibuat.
“Saya kata tak apa, saya pun senyap dulu dan tidak umumkan,” katanya.
Menurut Sanusi, langkah menjaga kerahsiaan merupakan antara strategi penting dalam menarik pelaburan berskala besar, khususnya membabitkan syarikat multinasional (MNC) yang menilai pelbagai negara sebelum menentukan lokasi operasi mereka.
“Syarikat multinasional lazimnya membuat penilaian menyeluruh terhadap pasaran, pesaing serta rangkaian pembekal sebelum memilih negara atau wilayah untuk mengembangkan operasi mereka.
“Mereka bersaing di pasaran antarabangsa. Sebelum mereka nak buka kilang di negara mana pun, mereka akan nilai banyak aspek,” katanya.
Sanusi turut mendedahkan pengalaman sebuah syarikat besar yang meneroka peluang pelaburan di Kedah pada Mei 2021 selepas turut menilai beberapa destinasi lain termasuk India, Vietnam, China, Eropah, Filipina dan Indonesia.
Katanya, syarikat itu meminta Kerajaan Negeri merahsiakan rundingan sehingga keputusan rasmi dibuat, sebelum akhirnya memilih Kulim Hi-Tech Park (KHTP) sebagai destinasi pelaburan kira-kira lapan bulan kemudian.
“Pelabur itu pergi ke semua tempat buat penilaian. Dia pesan pada saya, keep it P&C sehingga kami umumkan. Saya pun tak cakap, senyap walaupun menyeronokkan, benda besar nak datang berbelas-belas bilion pula.
“Saya hairan juga sebab tak boleh umum. Dia maklum mereka mahu menilai semua tawaran di semua negara dan nak tengok mana paling baik, tapi simpan dulu. Jadi ketika itu kita tak cakaplah.
“Vietnam buat tawaran tidak kenakan cukai, datang melabur saja, asalkan orang Vietnam boleh kerja. Kita pun ada pengecualian cukai namun dalam tempoh tertentu,” katanya.
Tambah Sanusi, syarikat berkenaan turut memaklumkan bahawa keputusan Kerajaan Negeri menjaga kerahsiaan menjadi antara faktor yang mendorong mereka memilih Kedah.
“Dia bagi tahu saya, dia buat pilihan ini kerana saya janji untuk merahsiakan perkara itu. Itu sahaja.
“Rahsianya, tak payah cakap,” katanya.
Menurutnya lagi, tempoh penilaian itu membolehkan syarikat berkenaan memuktamadkan pemilihan vendor serta menilai kedudukan strategik pelaburan berbanding pesaing dalam industri sama.
Tambah beliau, terdapat sektor tertentu yang memerlukan Kerajaan Negeri lebih berhati-hati dalam memberikan maklumat kepada umum kerana pendedahan terlalu awal boleh menjejaskan strategi perniagaan pelabur.
“Ada sektor tertentu, tak boleh cakap banyak. Kita peganglah janji kita, dan betul dia datang kerana kita tak cakap.
“Bila tak dedahkan, vendor dia secure, sebab nak datang melabur sini, ada kesannya, bolehkah atasi pesaing mereka. Itulah rahsia kepada kita tak cakap,” katanya.
Sanusi turut memberi bayangan masih terdapat beberapa potensi pelaburan lain yang belum diumumkan dan meminta semua pihak tidak membuat kesimpulan bahawa pelaburan Kedah tidak memberangsangkan.
“Jadi, ada banyak sebenarnya benda yang kita tak cakap lagi. Bukanlah habis lagi, peluru banyak. Jadi teruskan menembak peluru kapur, kita senyum saja,” katanya.

Tiada ulasan