Header Ads

test

PROGRAM QARYAH MUMTAZ PERSIAP PELAJAR KEDAH KE TIMUR TENGAH

 

Ku Azizah Ku Hamid

ALOR SETAR – Program Qaryah Mumtaz STAM Kedah merupakan antara usaha Kerajaan Negeri membentuk laluan pendidikan lebih tersusun bagi pelajar yang berhasrat melanjutkan pengajian ke Timur Tengah.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat berkata, program yang memasuki tahun ketiga penganjurannya itu bukan sekadar memberi tumpuan kepada kecemerlangan akademik, malah mempersiapkan pelajar dengan kemahiran dan jati diri sebelum melanjutkan pengajian di luar negara.

Katanya, kira-kira 600 calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dari seluruh Kedah dihimpunkan menerusi program berpusat itu setiap tahun sebagai persediaan menghadapi pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Program ini menjadi platform penting untuk meningkatkan pencapaian akademik selain membuka peluang lebih luas kepada pelajar menyambung pengajian di luar negara.

“Pada masa sama, pelajar perlu membina azam yang tinggi, memperkukuh penguasaan bahasa Arab dan membentuk jati diri yang kukuh sebagai persediaan menghadapi cabaran menuntut ilmu di luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian penutup Wacana Pendidikan Mahasiswa di Timur Tengah di Wisma Darul Aman, di sini.

Mohd Azam berkata, Kerajaan Negeri turut mengenal pasti dan mengumpul data lepasan SPM serta STAM bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Usaha ini penting supaya pelajar yang mempunyai potensi dapat dikenal pasti dan seterusnya dibantu untuk memanfaatkan peluang pendidikan serta bantuan yang disediakan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah yang menyediakan pelbagai bentuk bantuan pembiayaan pendidikan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke Timur Tengah.

Katanya, sokongan pembiayaan berkenaan dapat meringankan beban keluarga selain membantu membuka ruang kepada lebih ramai anak Kedah menimba ilmu di peringkat antarabangsa.

Tambah beliau, generasi muda perlu memanfaatkan peluang pendidikan yang tersedia bagi membentuk lebih ramai modal insan berilmu dan berkemahiran untuk menyumbang kepada pembangunan negeri pada masa hadapan.

“Semoga pelajar Kedah terus istiqamah dalam menuntut ilmu dengan meletakkan niat kerana Allah SWT agar segala urusan pembelajaran dipermudahkan dan akhirnya dapat kembali berbakti kepada agama, masyarakat serta negeri Kedah,” katanya.

Menurutnya lagi, seramai 186 pelajar Kedah berjaya melanjutkan pengajian ke Timur Tengah tahun ini, termasuk 158 pelajar yang diterima masuk ke Universiti Al-Azhar, Mesir, manakala selebihnya menyambung pengajian di Jordan.

#UrusSetiaPeneranganDarulAman
#UPDA
#ADUNSungaiLimau
#pendidikan

Tiada ulasan