Header Ads

test

MAHASISWA TIMUR TENGAH PERLU TINGKATKAN KEMAHIRAN

 

IJAZAH SAHAJA TIDAK MEMADAI

Ku Azizah Ku Hamid

ALOR SETAR – Memiliki ijazah sahaja tidak lagi memadai untuk menjamin peluang kerjaya, sebaliknya mahasiswa yang melanjutkan pengajian di Timur Tengah perlu melengkapkan diri dengan kemahiran tambahan bagi menghadapi pasaran kerjaya yang semakin mencabar.

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, mahasiswa khususnya dalam bidang pengajian agama perlu keluar daripada pendekatan lama yang hanya bergantung kepada satu kelayakan akademik.

Katanya, penguasaan kemahiran seperti teknologi maklumat (IT), kecerdasan buatan (AI), analitik data, pengurusan dan perniagaan mampu menjadi nilai tambah kepada graduan, sekali gus membuka lebih banyak pilihan kerjaya.

“Kalau kita belajar dalam bidang Usuluddin atau Syariah, kita perlu tambah pengetahuan dengan mengambil sijil-sijil tambahan supaya mempunyai kemahiran dalam pentadbiran, IT, AI atau big data.

“Dulu kita belajar untuk mendapatkan ijazah, kemudian berhenti. Era itu sudah berakhir. Hari ini ada ijazah, kita perlu terus tambah baik, tambah kemahiran dan dapatkan kemahiran baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Wacana Pendidikan Mahasiswa di Timur Tengah di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Haim Hilman berkata, gabungan ilmu agama dengan kemahiran profesional bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran graduan, malah membolehkan mereka menerokai bidang pekerjaan yang lebih luas selepas tamat pengajian.

Menurutnya, mahasiswa bidang agama tidak seharusnya melihat kelayakan dalam bidang pengajian utama sebagai pengakhiran perjalanan pendidikan, sebaliknya perlu sentiasa menambah kompetensi mengikut perubahan keperluan industri.

“Dunia hari ini berubah dengan begitu pantas, khususnya perkembangan teknologi dan AI. Mahasiswa perlu bersedia untuk mengadaptasi teknologi dan menguasai kemahiran baharu,” katanya.

Beliau berkata, usaha memperkasa kemahiran mahasiswa itu turut selari dengan agenda pembangunan bakat menerusi The Greater Kedah 2050, yang memberi penekanan terhadap usaha melahirkan modal insan berkualiti bagi memenuhi keperluan pembangunan negeri dan negara.

Katanya, mahasiswa yang mempunyai kombinasi ilmu akademik, kemahiran profesional dan keupayaan mengadaptasi teknologi akan mempunyai lebih banyak ruang untuk menyumbang kepada masyarakat serta pembangunan ekonomi pada masa depan.

Tiada ulasan