Header Ads

test

SANUSI MAHU KEDAH JADI PUSAT PERTUMBUHAN BAHARU SEPERTI LEMBAH KLANG

Roslinda Hashim
TANGGA BATU - Kedah berpotensi muncul sebagai pusat pertumbuhan ekonomi baharu negara menerusi pembangunan industri berteknologi tinggi, sekali gus menikmati limpahan ekonomi seperti yang dikecapi negeri-negeri di sekitar Lembah Klang.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pendekatan pembangunan berasaskan konsep The Greater Kedah mampu menjadikan Kedah sebagai tumpuan baharu pelabur, khususnya apabila kawasan perindustrian di Pulau Pinang semakin padat.
Menurutnya, Kedah mempunyai kelebihan dari segi ketersediaan tanah, infrastruktur serta kos tanah yang lebih rendah berbanding Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, sekali gus membuka ruang kepada peluasan sektor perindustrian.
"Kita namakan The Greater Kedah kerana mahu mengulangi pendekatan pembangunan seperti Lembah Klang yang memberi limpahan ekonomi kepada kawasan sekitarnya termasuk Selangor dan Seremban," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi calon Perikatan Nasional (PN) bagi DUN Paya Rumput, Rafie Ahmad, pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, hari ini.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu berkata, negeri-negeri yang dinamakan The Greater Klang Valley termasuk Seremban, Selangor dan Kuala Lumpur beroleh faedah besar daripada pembangunan pesat di Kuala Lumpur, kerana adanya pusat pembangunan, industri, kewangan serta pusat perkhidmatan di kawasan 200 kilometer radius.
“Cuma bezanya di Kedah, kawasan-kawasan strategik telah dipisahkan daripada Kedah, iaitu Pulau Pinang dan Seberang Perai. Maka kita perlu ada pusat pertumbuhan baharu di Kedah,” katanya.
Tambah beliau, berbeza dengan Lembah Klang, Kedah perlu merancang pembangunan dengan mengambil kira kepentingannya sebagai jelapang padi negara yang mempunyai kira-kira 100,000 hektar kawasan di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang perlu dikekalkan.
Katanya, justeru, pembangunan industri perlu ditumpukan di kawasan yang sesuai seperti Kulim, Sungai Petani, Gurun, Bukit Kayu Hitam dan Padang Terap tanpa mengorbankan kawasan pertanian serta kawasan tadahan air.
"Di Kedah, kawasan padi perlu dikekalkan sebagai jelapang makanan negara, manakala kawasan lain yang strategik boleh dibangunkan untuk industri baharu. Kulim dan Kuala Muda kini menjadi tumpuan, malah Kuala Muda mempunyai lebih 600,000 penduduk dan banyak kawasan industri.
“Inilah beza Kedah dengan Lembah Kelang. Mereka tiada kawasan tanaman padi, tapi ada kawasan darat yang boleh dibangunkan pada bila-bila masa. Kita pula sebagai jelapang makanan tak boleh bangunkan kawasan padi.
“Jadi apa-apa keperluan Kedah patutnya diberi perhatian kerana kita ada dua kepentingan dalam pertanian makanan dan industri,” katanya.
Sanusi optimis pada masa akan datang, industri akan berkembang pesat di Kedah dan pelabur akan mula memilih negeri ini.
“Pulau Pinang sudah padat sangat. Jadi pelabur akan beralih ke Kedah. Jadi Kedah akan jadi pusat pertumbuhan baharu.
“Kalau Selangor beruntung kerana adanya Kuala Lumpur, sekitar Kedah pula akan beruntung kerana adanya Kedah pada masa akan datang,” katanya.

Tiada ulasan