Header Ads

test

SANUSI TEGUR SIKAP ‘MATA LALAT’ GEMAR SEBAR KEBURUKAN KEDAH

 

Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegur sikap segelintir pihak yang gemar mencari dan menyebarkan keburukan mengenai Kedah sehingga mengabaikan pelbagai perkara baik yang dilakukan negeri itu.
Beliau menyifatkan perbuatan tersebut umpama ‘mata lalat’ yang hanya tertarik kepada benda kotor dan busuk, sedangkan banyak perkara positif yang boleh diketengahkan untuk manfaat masyarakat.
“Ada orang suka jadi mata lalat. Mata lalat ini cari benda busuk, bangkai, tahi dan sampah. Dia sebut benda yang tiada, benda baik yang ada terlalu banyak tak disebut.
“Jadi, kurangkan jadi mata lalat. Jangan cari tahi saja. Lalat tak hinggap pada bunga. Jadi kalau nak jadi lalat, pergi duduk tempat lain,” katanya.
Sanusi sebaliknya menasihatkan orang ramai supaya mencontohi lebah yang mencari bunga dan menghasilkan madu, sebagai gambaran sikap yang sentiasa mencari kebaikan serta menyebarkan perkara bermanfaat.
Menurut beliau, masyarakat seharusnya mengutamakan perkongsian perkara positif yang boleh dijadikan pedoman, berbanding menyebarkan dakwaan negatif yang belum dipastikan kebenarannya.
“Datang duduk di Kedah ini, kita jadilah lebah. Bawa balik manisan untuk menjadi madu. Jadi lebah, cari bunga. Banyakkan benda-benda bermanfaat. Kita sebarkan kebaikan untuk jadi pedoman kepada orang ramai. Itu lebih membahagiakan,” katanya.
Tambah beliau, penyebaran perkara negatif hanya akan mengundang tindak balas sama daripada pihak lain, sekali gus mewujudkan suasana saling memburukkan antara satu sama lain.
“Kalau kita sebar benda-benda negatif, orang akan membalas. Orang akan cari benda negatif pihak lain pula. Maka tersebar dalam kalangan orang ramai perkara yang tak elok.
“Benda-benda negatif yang tak tentu betul, tidak mendatangkan kebaikan kepada siapa-siapa. Tetapi kalau kita jadi lebah, bawa balik bunga, bawa balik manisan dan kebaikan.
“Jadi, buat apa cari benda tak elok, sedangkan benda yang elok banyak,” katanya.
Sanusi turut mengingatkan masyarakat supaya tidak mengetepikan atau menyembunyikan perkara baik yang berlaku, sebaliknya menghargai dan menyebarkannya agar lebih ramai mendapat manfaat.
“Jadi, yang elok itu kita hargai. Jangan dipendam-pendamkan. Mari kita hidup dalam suasana yang seronok.
“Jangan cari keburukan, berhentilah menjadi lalat,” katanya penuh makna.

Tiada ulasan