Header Ads

test

SUNGAI KEDAH DIINTAI JADIKAN HAB PELANCONGAN WARISAN, KULINARI DAN REKREASI AIR

 

Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Cadangan membangunkan Sungai Kedah sebagai hab pelancongan berasaskan warisan, kulinari dan aktiviti rekreasi air termasuk pembinaan jambatan ikonik berkonsepkan Wau Jala Budi antara idea yang diketengahkan bagi mengangkat potensi sungai itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata, pelbagai idea pembangunan Sungai Kedah dibincangkan dalam Mesyuarat Pembangunan Pelancongan Sungai Kedah yang dipengerusikannya, membabitkan jabatan dan agensi Kerajaan Negeri serta Persekutuan.
Menurutnya, beberapa cadangan turut dikemukakan pihak swasta dan akan diteliti bersama agensi berkaitan sebelum projek yang berdaya maju dipertimbangkan untuk pelaksanaan.
“Antara cadangan, pembangunan Jambatan Budi yang diinspirasikan daripada wau tradisional Kedah yang berpotensi menjadi mercu tanda baharu pelancongan negeri, selain menghubungkan pengunjung ke Kampung Seberang.
“Cadangan lain termasuk pembangunan konsep ‘Zahir River of Light’ menghubungkan Pekan Melayu, Tanjung Chali, Masjid Zahir dan Dataran Alor Setar melalui koridor tepi sungai dengan landskap serta pencahayaan moden.
“Konsep itu bertujuan memperkukuh nilai warisan Islam dan sejarah bandar Alor Setar menerusi pengalaman visual, seni bina serta laluan pejalan kaki yang menghubungkan lokasi bersejarah berkenaan,” katanya.
Menurut Mohd Salleh, pembangunan ‘Jeti Boat Cruise’ turut dicadangkan bagi membolehkan aktiviti pelayaran sungai, pelayaran makan di atas bot, bot persiaran dan lawatan warisan dilaksanakan di sepanjang Sungai Kedah.
“Kawasan berkenaan juga berpotensi dilengkapi kiosk berkonsepkan warisan moden yang menawarkan makanan tempatan, ruang santai menghadap sungai, platform tanaman terapung serta laluan pejalan kaki dengan pencahayaan menarik.
“Cadangan lain termasuk Cafe Serambi Rasa Kedah di persisiran Seberang Perak yang berperanan sebagai pusat ekonomi komuniti berasaskan kulinari tradisional Kedah, selain menyediakan ruang rekreasi santai di tebing sungai,” ujar beliau.
Tambah beliau, Dataran Terbuka Chali Galeri Kapal turut dicadangkan dengan laluan pejalan kaki dan gerbang bercahaya yang menghubungkan Dataran Alor Setar ke Masjid Zahir serta Sungai Anak Bukit.
“Bagi mempelbagaikan tarikan, aktiviti rekreasi air seperti berkayak, berkanu, bot kayuh, teksi air, pelayaran menikmati matahari terbenam, jeti memancing dan dek terapung juga antara idea yang diketengahkan,” katanya.
Mohd Salleh berkata, Kerajaan Negeri mengalu-alukan penyertaan pihak swasta serta mana-mana pihak yang mempunyai idea dan kepakaran untuk bersama-sama membangunkan potensi pelancongan Sungai Kedah.
Menurutnya, usaha itu bukan sekadar bertujuan mencantikkan kawasan sungai, sebaliknya menghidupkan persekitarannya, merancakkan ekonomi setempat dan mewujudkan destinasi pelancongan yang mempunyai identiti tersendiri.
“Potensinya sudah ada. Kini cabaran kita ialah menterjemahkannya menjadi kenyataan.
“Sungai Kedah mempunyai hubungan yang panjang dengan sejarah negeri, perkembangan bandar dan kehidupan masyarakat Kedah. Dengan kekayaan warisan, keunikan budaya serta keindahan alam semula jadi di sekitarnya, sungai ini berpotensi besar diangkat sebagai salah satu destinasi pelancongan utama negeri, malah negara,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri menyedari potensi tersebut dan akan terus berusaha mencari pendekatan terbaik untuk merealisasikannya.
“Mudah-mudahan dengan usaha berterusan dan kerjasama semua pihak, Sungai Kedah kelak akan muncul sebagai destinasi pelancongan terkemuka dan menjadi satu lagi kebanggaan rakyat Kedah,” katanya.

Tiada ulasan