Header Ads

test

SARAN WUJUDKAN SEKRETARIAT PERNIAGAAN SOSIAL

 

“GABUNG KEPAKARAN, SUMBER BANTU GOLONGAN MEMERLUKAN”
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Penubuhan sekretariat perniagaan sosial dicadangkan bagi menyelaras kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi, Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan untuk membantu golongan miskin serta meningkatkan taraf hidup masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, sekretariat itu akan menjadi platform untuk menggabungkan kepakaran, sumber dan komitmen pelbagai pihak bagi melaksanakan inisiatif yang memberi manfaat kepada golongan memerlukan.
Menurutnya, Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) boleh dijadikan rakan strategik institusi pendidikan sebagai perintis program berkenaan.
“Saya ingin menawarkan Kedah sebagai rakan kerjasama strategik dalam usaha membantu golongan memerlukan, khususnya golongan miskin. Marilah kita gabungkan ilmu pengetahuan, sumber dan komitmen untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan International Social Business Conference and Exhibition 2026 (ISBCE 2026) anjuran AIU yang bertemakan ‘Social Business for All’ (Perniagaan Sosial untuk Semua).
Menurutnya, Kedah bersedia menjadi rakan strategik dalam usaha memperkukuh agenda perniagaan sosial, khususnya menerusi kerjasama antara universiti, Kerajaan Negeri dan agensi Persekutuan.
“Kita tidak dapat mengubah masa lalu, tetapi kita boleh mengambil tindakan sekarang. Inilah masa dan tanggungjawab kita untuk bekerjasama serta memperbaiki kehidupan masyarakat,” katanya.
Haim Hilman berkata, golongan akademik perlu keluar daripada lingkungan kampus dan mendekati masyarakat secara langsung bagi memastikan ilmu serta kepakaran universiti dapat dimanfaatkan oleh mereka yang benar-benar memerlukan.
Katanya, lebih ramai profesor dan pensyarah perlu turun padang memberikan bimbingan, berkongsi pengetahuan serta membantu masyarakat mengatasi kesukaran dalam kehidupan.
“Kita mempunyai akses kepada sumber, ilmu pengetahuan dan kuasa membuat keputusan. Kita mesti gunakan kelebihan itu untuk bekerjasama dengan masyarakat, bimbing dan bantu mereka melangkah ke hadapan.
“Apa jua jawatan yang kita sandang, tanggungjawab kita adalah berkhidmat kepada orang lain. Nilai kepimpinan terletak pada sumbangan yang kita berikan, kehidupan yang kita bantu perbaiki dan kepercayaan yang kita pelihara.
“Ilmu yang terdapat di universiti mesti disampaikan kepada golongan yang benar-benar memerlukannya,” katanya.
Haim Hilman berkata, kejayaan perniagaan sosial tidak seharusnya diukur berdasarkan keuntungan semata-mata, sebaliknya mengambil kira keupayaan mengurangkan kemiskinan, mewujudkan peluang pekerjaan dan memastikan masyarakat dapat menjalani kehidupan bermaruah.
“Kita semua mempunyai peranan dalam membawa perubahan tersebut. Tanggungjawab ini menyatukan universiti, pemimpin dan agensi kerajaan. Kita mahu setiap orang meletakkan nilai kemanusiaan sebagai teras dalam setiap pekerjaan. Kepentingan peribadi tidak seharusnya menghalang kita membantu orang lain.
“Saya mengajak semua orang, sama ada dilahirkan di Kedah atau negeri lain, untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan ini demi manfaat generasi akan datang,” ujarnya.
Tegas beliau, pelan strategik ‘The Greater Kedah’ yang dirangka bagi tempoh 25 tahun juga memberi perhatian kepada kesejahteraan rakyat, termasuk golongan berpendapatan rendah dan pesawah yang menjadi tunjang keterjaminan makanan negara.
Katanya, sumbangan Kedah sebagai jelapang padi negara mencerminkan semangat perusahaan sosial kerana pengeluaran makanan negeri itu memenuhi keperluan masyarakat yang lebih luas, melangkaui sempadan negeri.
“Namun sumbangan besar pesawah kepada negara perlu disertai usaha meningkatkan taraf hidup mereka.
“Greater Kedah merupakan komitmen kita untuk menyumbang kepada pembentukan Malaysia yang lebih kukuh. Kita mahu negeri ini memainkan peranannya dalam kemajuan negara dan memastikan rakyatnya menikmati kemakmuran.
“Kita bukan negeri kaya. Namun, kita mempunyai keyakinan, keazaman dan kepercayaan terhadap perkara yang mampu kita capai bersama,” katanya.
Justeru, katanya, sokongan praktikal termasuk pendidikan, bimbingan dan bantuan membangunkan sumber pendapatan mampu membuka ruang kepada sesebuah keluarga untuk keluar daripada kesusahan.
“Sesuatu yang kelihatan kecil bagi kita adakalanya membawa makna besar kepada seseorang yang merasakan peluang untuk berjaya berada di luar jangkauannya,” katanya.
Beliau juga percaya Kedah mampu menjadi sebuah negeri makmur, dengan pemimpin dan ilmuwannya berkhidmat berlandaskan semangat kenegarawanan.
“Ia memerlukan kesediaan untuk berikan yang terbaik dan melangkaui keuntungan peribadi. Kita menyedari cabaran dihadapi, namun komited melakukan yang terbaik.
“Marilah kita berganding bahu meningkatkan mutu pendidikan, menyokong sumber pendapatan rakyat dan mewujudkan peluang kepada masyarakat.
“Dengan komitmen dan kerjasama, kita mampu merealisasikan perubahan yang kita inginkan. Kita perlu berusaha mengikut kemampuan masing-masing untuk berikan sumbangan bermakna,” katanya.
Haim Hilman berharap ISBCE 2026 bukan sekadar menjadi medan perkongsian ilmu dan pertukaran idea, sebaliknya menghasilkan inisiatif konkrit yang dapat dilaksanakan secara bersama demi kesejahteraan masyarakat.
“Kerjasama rentas institusi dan peringkat kerajaan perlu diperkukuh kerana perbezaan organisasi tidak seharusnya menjadi penghalang kepada usaha membantu rakyat.
“Komitmen berterusan semua pihak penting bagi memastikan agenda perniagaan sosial mampu wujudkan perubahan bermakna, sekali gus menyumbang kepada pembangunan Kedah yang lebih makmur dan inklusif,” katanya.

Tiada ulasan