Header Ads

test

ANAK PEREMPUAN MENTERI BESAR KEDAH DIRAWAT DI ICU, TERLIBAT KEMALANGAN


  Roslinda Hashim

ALOR SETAR - Anak perempuan kepada Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mengalami kecederaan pada muka dan kepala termasuk patah empat jari dan tulang rusuk selepas terbabit dalam kemalangan motosikal berhampiran Kampung Alor Setol, petang semalam.
Mangsa kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi membolehkan doktor memantau keadaannya serta melakukan pemeriksaan lanjut bagi mengesan kemungkinan kecederaan dalaman.
Menurut Sanusi, doktor mahu memantau keadaan anak ketiganya itu terlebih dahulu dan sekiranya pemeriksaan lanjut menunjukkan perkembangan baik, mangsa dijangka dipindahkan ke wad biasa esok.
“Masih dirawat di ICU, doktor maklumkan perlu buat pemantauan rapi terlebih dahulu, esok mungkin boleh tukar ke wad biasa selepas pemeriksaan jika keadaan lebih baik,” katanya.
Menurutnya lagi, anaknya yang merupakan pelajar tahfiz sedang mengikuti program pembelajaran ‘fast track’ bagi menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), di Kolej Islam Darul Ulum (KIDU) Pokok Sena.
Bagaimanapun, kejadian itu dijangka menyebabkan anaknya tidak dapat menduduki peperiksaan berkenaan yang dijadualkan bermula 23 November ini berikutan kecederaan pada tangan kanannya.
“Sepatutnya dia akan duduki SPM… nampaknya mungkin dia tak dapat teruskan sebab tangan kanannya cedera,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali memaklumkan, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira pukul 4 petang ketika mangsa yang berusia 20 tahun menunggang motosikal Yamaha X-Max 250 dari arah kolejnya di Pokok Sena menghala ke Alor Setar.
"Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal yang ditunggangnya sehingga menyebabkan ia terbabas ke dalam longkang," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, sejurus kejadian, mangsa dibantu oleh orang awam dan pasukan perubatan sebelum dibawa ke HSB untuk rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tiada ulasan