PERUNTUKAN RM566 JUTA PERKUKUH INFRASTRUKTUR AWAM DAN PEMBANGUNAN KEDAH
Nur Akasyah Sabri
ALOR SETAR – Infrastruktur awam serta projek yang menyokong pertumbuhan ekonomi negeri terus diperkukuh menerusi peruntukan berjumlah RM566 juta bagi pelaksanaan projek jalan dan jambatan, prasarana desa serta ameniti sosial.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM307 juta diperuntukkan bagi pengurusan dan penyenggaraan jalan raya negeri menerusi Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).
Tambahnya, sebanyak tiga projek utama berjaya disiapkan mengikut jadual pada tahun ini. Antaranya, Projek Membina Jalan Baharu di Kebun 500–Tualang–Bukit Sekechong (K129/4/2), Daerah Pokok Sena, dengan kos keseluruhan RM2.31 juta yang siap pada 6 Oktober 2026, setahun lebih awal daripada tarikh jangkaan siap pada 6 Oktober 2027.
“Projek yang kedua ialah projek menggantikan Jambatan Sungai Getah KM 1.5, Jalan Sungai Lalang/Bukit Selambau (K152), Daerah Kuala Muda, dengan kos keseluruhan RM9.03 juta yang telah disiapkan sebulan awal dari jadual iaitu pada 23 September 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu pembentangan Bajet Kedah 2027 di Wisma Darul Aman, hari ini.
Selain itu, satu lagi projek penting yang dijadualkan siap pada November tahun ini ialah projek menggantikan Jambatan Sungai Pendang, Jalan Tanah Merah/Tokai (K130), Daerah Pendang, dengan kos keseluruhan RM9.65 juta.
Bagi tahun 2027, antara projek utama yang bakal disiapkan ialah Projek Menaik Taraf Jalan Kota Sarang Semut ke Pekan Pendang (Laluan K133) – Fasa 1, dengan kos RM22.6 juta.
Sanusi berkata, Kerajaan Negeri juga meneruskan pelaksanaan projek menggantikan Jambatan Sungai Chepir di Jalan Batu Lima/Parit Panjang (K15) dan Jalan Tuju, Daerah Sik, bernilai RM6.85 juta yang dijangka siap pada Ogos 2027. Projek berkenaan bertujuan menyediakan infrastruktur jalan dan jambatan yang lebih selamat, selesa serta berdaya tahan.
Sementara itu, sebanyak RM40.05 juta diperuntukkan bagi pembinaan baharu dan kerja-kerja menaik taraf jalan serta jambatan pada tahun 2027. Sebanyak RM9.32 juta disediakan bagi pembaikan kemudahan ameniti sosial dan prasarana desa.
Dalam usaha meningkatkan kemudahan bekalan air negeri, tiga projek pembangunan Loji Rawatan Air (LRA) telah siap dilaksanakan, iaitu LRA Lubuk Buntar Lama, Bandar Baharu dengan kapasiti 34 mld, LRA Jenun Baru, Pendang dengan peningkatan kapasiti daripada 55 mld kepada 110 mld serta LRA Pelubang, Kubang Pasu yang meningkat daripada 277 mld kepada 454 mld.
“LRA Pelubang kini dalam Fasa Pengujian dan Pentauliahan (T&C) dan kerja-kerja pemasangan paip dengan peruntukan berjumlah RM102.6 juta. Projek ini dijangka dapat meningkatkan kapasiti bekalan air bersih ke kawasan seperti Kuala Kedah, Bukit Kayu Hitam, serta Zon Pembangunan Delapan.
“Selain itu, peruntukan RM36 juta turut disediakan bagi Pembaikan Paip Dasar Laut Langkawi bagi memastikan bekalan air ke Pulau Langkawi lebih stabil dan berterusan demi memenuhi keperluan penduduk serta sektor pelancongan. Kerja-kerja pembaikan ini dijangka siap pada suku pertama tahun 2027,” katanya.

Post a Comment