Header Ads

test

DUA PESERTA SEJAHTERACARE JANA PENDAPATAN LEBIH RM78,000 MELALUI PERKHIDMATAN URUTAN TERAPI

 

Ku Azizah Ku Hamid
ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah terus memperkukuh agenda pemerkasaan ekonomi wanita melalui pendekatan pembangunan kemahiran dan keusahawanan bagi membantu golongan wanita, khususnya ibu tunggal dan kumpulan berpendapatan rendah (B40).
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga & Masyarakat Perpaduan, Dato’ Halimaton Shaadiah Saad berkata, menerusi Program SejahteraCare, Latihan Urutan Terapi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 telah memberi peluang kepada 136 peserta dari seluruh negeri untuk memperoleh latihan kemahiran secara lebih tersusun dalam bidang urutan terapi.
"Peserta program dibahagikan kepada dua zon iaitu Zon Utara melibatkan 70 peserta dari enam daerah, manakala Zon Selatan melibatkan 66 peserta dari enam daerah, menjadikan keseluruhan penyertaan merangkumi 12 daerah di Kedah.
"Keberkesanan program itu turut ditunjukkan menerusi pencapaian dua peserta dari kawasan Bandar Baharu dan Kulim (Serdang) yang berjaya menjana pendapatan melalui perkhidmatan urutan terapi sepanjang tempoh Disember 2025 hingga Oktober 2026," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Loh Wei Chai (PH - Bakar Arang) berkenaan sejauh mana Tabung Usahawan Wanita Sejahtera berjaya dilaksanakan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Jelas beliau, peserta pertama, Nor Khairatul Syakirah Mohd Sukri mencatatkan jumlah pendapatan keseluruhan sebanyak RM25,902 dengan purata RM2,354.73 sebulan, manakala peserta kedua, Nor Sharina Mohd Saleh berjaya mengumpul pendapatan sebanyak RM52,190 dengan purata RM4,744.55 sebulan.
"Malah, Nor Sharina mencatatkan pendapatan tertinggi sebanyak RM11,510 pada September 2026, sementara Nor Khairatul Syakirah merekodkan pendapatan tertinggi RM4,034 pada Julai tahun sama.
"Pencapaian tersebut membuktikan latihan kemahiran berpotensi membuka peluang kepada wanita untuk menceburi bidang pekerjaan, menawarkan perkhidmatan secara kendiri dan membina sumber pendapatan sendiri," ujarnya.
Menurut Halimaton, sebelum ini, Kerajaan Negeri turut melaksanakan Bantuan Tabung Usahawan Wanita Sejahtera (TUWS) pada 2025 dengan menyalurkan bantuan RM500 seorang kepada 1,000 penerima, membabitkan peruntukan keseluruhan RM500,000 yang meliputi 12 daerah dan 36 kawasan DUN.
"Bagaimanapun, Kerajaan Negeri tidak mempunyai data khusus bagi mengukur peningkatan pendapatan penerima TUWS kerana pemantauan susulan terhadap perkembangan perniagaan dan pendapatan mereka belum dilaksanakan secara sistematik, kata beliau.
Tambahnya, kerajaan negeri akan terus memperkukuh pelaksanaan inisiatif seumpama ini melalui pengumpulan maklumat dan pemantauan susulan bagi menilai perkembangan peserta, termasuk penglibatan mereka dalam pekerjaan serta aktiviti penjanaan pendapatan.

Tiada ulasan