Header Ads

test

PAMPASAN KEPADA PESAWAH TERJEJAS AKIBAT KELEWATAN BAJA WAJAR DIPERTIMBANG


Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Pemberian pampasan kepada pesawah yang terkesan akibat kelewatan pembekalan baja wajar dipertimbangkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan, Dzowahir Ab. Ghani berkata, keputusan berhubung pemberian pampasan itu tertakluk kepada pertimbangan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Menurutnya, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bersedia menyediakan dan mengesahkan data pesawah serta keluasan kawasan terjejas bagi mempermudahkan permohonan.
“KPKM bertanggungjawab terhadap pelaksanaan skim pembekalan baja, justeru sebarang cadangan pampasan memerlukan keputusan di peringkat Persekutuan,” katanya ketika ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Menurutnya, kesan sebenar kelewatan pembekalan baja terhadap hasil tanaman dan pendapatan pesawah perlu dinilai berdasarkan prestasi hasil padi bagi musim berkenaan dengan mengambil kira faktor lain seperti keadaan cuaca, bekalan air dan serangan perosak.
“Bekalan Baja Padi 1 (Baja Sebatian) dan Baja Padi 2 (Urea) disempurnakan mengikut jadual, hanya pembekalan Baja Padi 3 (Baja Sebatian Tambahan) lewat akibat kegagalan pembekal memenuhi jadual penghantaran.
“Kerajaan telah batalkan kontrak pembekal Baja Padi 3 dan lantik pembekal baharu bagi menyelesaikan baki bekalan tertangguh.
“Daripada keseluruhan keperluan 616,015 beg Baja Padi 3 bagi Musim 1/2026, sebanyak 195,968 beg atau 32 peratus dibekalkan pada peringkat awal, baki 420,047 beg (68 peratus) diselesaikan menerusi tindakan intervensi kerajaan.
“Pembekalan kepada semua Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) MADA selesai sepenuhnya pada 13 September, manakala pengedaran kepada pesawah selesai pada 24 September,” katanya.
Dzowahir berkata, dalam usaha meningkatkan produktiviti padi dan menangani penurunan Kadar Sara Diri (SSR) beras negara, MADA melaksanakan Program Penanaman Padi Lima Musim dalam Tempoh Dua Tahun yang disokong pembangunan 15 blok sistem pengairan tersier serta pemulihan menyeluruh Empangan Pedu.
“MADA turut laksanakan inisiatif meningkatkan kesuburan tanah sawah menerusi penggunaan bahan pemulih tanah, input lestari, baja foliar serta baja bio dan organik yang dijangka memberi manfaat kepada kawasan sawah seluas 12,000 hektar.
“Projek Estet Padi berskala besar, penggunaan mekanisasi dan teknologi pertanian serta peningkatan kualiti benih padi sah turut diberi tumpuan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan ladang dan mengoptimumkan kos operasi,” katanya.
“Tumpuan juga diberi kepada peningkatan kualiti benih padi sah dan penggunaan teknologi pertanian supaya pesawah memperoleh input berkualiti selain penggunaan teknologi pertanian pintar dan digital digalakkan,” katanya.
Tambah beliau, bagi memperkukuh jaminan bekalan air pengairan, MADA melaksanakan Projek Pembangunan Sumber Air Baharu di Kawasan Muda membabitkan pembinaan tiga stesen pam dengan peruntukan RM3 juta bagi tempoh 2026 hingga 2027.
“Projek berkenaan melibatkan pembinaan sebuah stesen pam di Sungai Limau Dalam, Yan tahun ini dengan peruntukan RM1 juta, dua lagi dirancang di Kampung Permatang Kangkong, Pendang dan Parit Tunjang, Kubang Pasu tahun depan dengan peruntukan RM2 juta,” katanya.
Dzowahir memaklumkan, bagi menghadapi ketidaktentuan cuaca dan risiko kemarau, sebanyak lima pusingan Operasi Pembenihan Awan (OPA) dilaksanakan sepanjang tahun ini dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi Malaysia dan Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK).
Katanya, operasi pada Mei lalu merekodkan jumlah hujan tertinggi sebanyak 67.3 milimeter di Empangan Ahning, manakala operasi pada April mencatatkan 46.2 milimeter di Empangan Muda.
“Operasi pada 3 hingga 5 September turut menghasilkan hujan di kawasan tadahan empangan, dengan jumlah tertinggi 10.8 milimeter di Empangan Ahning, 10.4 milimeter di Empangan Pedu dan 10.1 milimeter di Empangan Muda,” katanya.
# Bagaimanapun, taburan hujan yang dihasilkan belum memberi kesan ketara terhadap peningkatan paras air dan isipadu takungan empangan.
“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri sedia meneliti cadangan penubuhan Jawatankuasa Khas membabitkan Menteri Besar, Exco Pertanian serta agensi berkaitan.
“Kita akan terus perkukuh kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan serta agensi teknikal agar tindakan awal hadapi risiko kemarau dapat diselaraskan secara berkesan bagi meminimumkan risiko kerugian kepada pesawah serta memperkukuh agenda keterjaminan makanan negeri dan negara,” katanya.

Tiada ulasan