FASA SATU LITAR LUMBA SUNGAI PETANI DIJANGKA SIAP JUN 2027 - SANUSI
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Fasa pertama pembangunan Projek Litar Lumba Sungai Petani yang melibatkan pembinaan litar drag dan kerja-kerja infrastruktur kini mencapai kemajuan fizikal 78 peratus dan dijangka siap pada Jun 2027.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, projek bernilai keseluruhan RM46 juta itu kini diteruskan menggunakan pembiayaan swasta menerusi kaedah Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI), tanpa menggunakan peruntukan kerajaan bagi kerja-kerja pembinaan semasa.
Menurut beliau, fasa pertama melibatkan kos RM16 juta itu dilaksanakan berdasarkan Kebenaran Mula Kerja Pembinaan Litar Sementara diberikan oleh Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK).
"Fasa pertama melibatkan kerja-kerja infrastruktur, penyediaan tempat letak kereta dan pembinaan litar drag, kemajuannya 78 peratus.
“Bagi pembangunan keseluruhan, kos projek dianggarkan RM46 juta, RM16 juta bagi fasa awal pembangunan dan RM30 juta lagi bagi pembinaan bangunan serta struktur utama.
“Ini pun jadi isu, ambil gambar tempat ada semak dan perli. Sepatutnya tengok keseluruhan projek, ambil maklumat palsu dan bayar ceplos guna duit kerajaan dedah pada orang ramai, itu duit haram. Patutnya dapatkan maklumat daripada kerajaan sebab kita ada maklumat tepat tapi sengaja beri gambaran salah untuk burukkan kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Teh Swee Leong (DAP-Kota Darul Aman) mengenai kemajuan fizikal projek berkenaan serta kesan siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA), pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Menurut Sanusi, Jun 2027 itu adalah perancangan syarikat bagi menyiapkan fasa pertama, manakala komponen lain seperti fasiliti dan bilik pameran akan dilaksanakan dalam fasa seterusnya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri setakat ini tidak menerima sebarang maklumat atau pengesahan yang mengaitkan kelewatan projek itu dengan siasatan AMLA oleh Bukit Aman.
Katanya, projek itu sebelum ini mengalami pemberhentian kerja selama dua tahun bermula Ogos 2023 hingga Ogos 2025 susulan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bagaimanapun, selepas keputusan tiada tindakan lanjut (NFA) diperoleh dan susulan penarikan diri PKB pada November 2024, Open Road bersama kontraktor mengambil inisiatif meneruskan projek menggunakan pembiayaan sendiri menerusi kaedah PFI.
“Syarikat telah mengemukakan permohonan pengezonan dan sedang menyediakan dokumen bagi mendapatkan kelulusan Kebenaran Merancang (KM) penuh daripada MPSPK sebelum pembinaan bangunan serta struktur utama dapat dimulakan.
“Syarikat juga perlu mematuhi semua prosedur, syarat teknikal dan peraturan ditetapkan pihak berkuasa,” katanya.
Dalam pada itu, Sanusi berkata, Kerajaan Negeri turut meneliti isu pemilikan tanah projek berkenaan, khususnya berhubung kesesuaian penggunaan dana awam bagi pembangunan di atas tanah milik syarikat.
Katanya, kedudukan pemilikan tanah serta asas penggunaan peruntukan awam perlu diperjelas dan diselesaikan mengikut undang-undang serta tatacara kewangan yang berkuat kuasa.
"Kalau hendak jadikan litar ini milik syarikat, syarikat perlu bayar semula RM10 juta yang telah dibelanjakan kerajaan supaya wang itu boleh dikembalikan kepada KBS. Perkara ini masih perlu diteliti.
“Oleh kerana ada kacau ganggu berkaitan projek ini hingga bawa ke SPRM, kita jawab dengan betul dan ikut prosedur, akhirnya NFA, ahli politik pembangkang masih kacau projek ni, kalau sengaja nak kenakan orang berhentilah sebab kita ikut peraturan.
"Kita tidak boleh sewenang-wenangnya gunakan wang kerajaan untuk bangunkan tanah milik syarikat. Sebab itu kita sedang perbetulkan perkara ini supaya semuanya mengikut tatakelola yang betul," katanya.
Sanusi tegaskan, Exco Sukan akan terus memantau perkembangan projek bagi memastikan semua syarat pembangunan dan prosedur ditetapkan pihak berkuasa dipatuhi, selain memastikan projek ini dimanfaatkan untuk pembangunan sukan permotoran di Kedah.
"Litar ini bukanlah projek terlalu penting, tetapi kita perlu uruskan wang yang sudah dibelanjakan supaya dana awam tidak dibazirkan.
"Insya-Allah, kita akan pastikan segala urusan diselesaikan mengikut peraturan dan projek ini dapat diteruskan," katanya.
Sanusi jelaskan, projek berkenaan pada asalnya dicadangkan pada 2013 menerusi manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) dan diumumkan Perdana Menteri ketika itu dengan hasrat menyediakan kemudahan litar lumba untuk golongan muda.
Katanya, projek tersebut menerima peruntukan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebanyak RM30 juta, dengan RM10 juta telah dibelanjakan oleh pentadbiran terdahulu bagi kerja pembersihan tapak, penyediaan tanah dan pembinaan jalan masuk antara 2017 hingga 2019.
“Baki peruntukan RM20 juta masih belum digunakan, ada dalam akaun kerajaan, sekupang pun kita tak belanja untuk perkara lain. Tiada juga penambahan peruntukan kerajaan diluluskan untuk projek ini.
"Ini bukan projek bawah pentadbiran saya, tetapi kita terpaksa meneruskannya kerana RM10 juta wang awam sudah dibelanjakan. Kita tidak mahu wang itu dibazirkan begitu sahaja," katanya.
Beliau berkata, cadangan asal membangunkan litar perlumbaan bertaraf antarabangsa setanding Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan anggaran kos RM75 juta tidak diteruskan susulan beberapa faktor termasuk pandemik COVID-19 dan perubahan pentadbiran kerajaan.
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri menilai semula pendekatan pembangunan projek berkenaan kepada skala lebih bersesuaian dengan keperluan semasa dan kemampuan pembiayaan.

Post a Comment