Header Ads

test

TAMBAHAN RM1 JUTA BANTUAN KHAIRAT KEMATIAN MANFAATKAN LEBIH RAMAI RAKYAT

 

Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Penambahan peruntukan bantuan khairat kematian (i-Kafalah) sebanyak RM1 juta menerusi Belanjawan Kedah 2027 diharap memanfaatkan lebih ramai waris layak menerima bantuan selain dapat mengurangkan tunggakan permohonan.
Ustaz Hanif Ghazali (PAS-Tanjung Dawai) berkata, peruntukan tambahan itu amat diperlukan memandangkan permintaan terhadap bantuan tersebut sentiasa melebihi kuota yang disediakan kepada setiap kawasan DUN.
Menurutnya, ketika Kerajaan Negeri mengambil alih pentadbiran pada Mei 2020, Pusat Khidmat DUN Tanjung Dawai mendapati terdapat banyak borang permohonan khairat kematian masih bertimbun kerana tidak dihantar ke Wisma Darul Aman untuk diproses.
“Program ini bermula sejak zaman bekas Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak dan diteruskan oleh kerajaan selepas itu.
“Berdasarkan maklumat yang saya terima, ketika itu kuota bantuan khairat kematian hanya diperuntukkan kepada 80 orang setiap DUN.
“Alhamdulillah, Kerajaan Negeri tambah RM1 juta untuk bantuan ini. Mudah-mudahan peruntukan tambahan ini dapat mudahkan rakyat membuat permohonan,” katanya ketika sesi perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di sini hari ini.
Pada pembentangan Belanjawan Kedah 2027, Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan bantuan khairat kematian (i-kafalah) dinaikkan kepada RM5 juta, dengan sumbangan RM500 kepada setiap penerima.
Hanif turut mengingatkan orang ramai supaya membuat permohonan secara jujur dan amanah serta memastikan hanya waris yang benar-benar layak menerima bantuan tersebut.
Beliau turut mendedahkan pernah berlaku kes tuntutan berganda melibatkan satu kematian di daerah Baling apabila waris di Baling dan anak si mati di Sungai Layar masing-masing membuat tuntutan.
“Setahun selepas itu, DUN Tanjung Dawai diminta tuntut balik hak itu di Sungai Layar, mungkin sistem tersebut ada sedikit kelemahan untuk kesan nombor kad pengenalan si mati,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berharap Kerajaan Negeri terus memberi perhatian kepada permohonan hak milik tanah membabitkan penduduk yang sudah menetap di sesuatu kawasan sejak beberapa generasi.
Katanya, walaupun Kerajaan Negeri sudah menyerahkan ribuan geran hak milik kepada rakyat, masih terdapat penduduk yang memerlukan pembelaan, termasuk penduduk Kampung Sungai Batu berhampiran tapak Tamadun Sungai Batu yang sudah menetap di kawasan itu sejak dua hingga tiga generasi.
“Saya dimaklumkan pegawai khas Menteri Besar yang mengendalikan hal ehwal tanah sedang meninjau isu ini.
“Kadang-kadang kita sedih orang yang benar-benar layak dan sudah lama tinggal di sesuatu kawasan mohon tetapi tidak dapat hak milik, sedangkan pihak yang tidak sepatutnya menerima tanah berjaya dapatkannya.
“Jika tanah diberikan kepada rakyat yang benar-benar memerlukan dan layak, insya-Allah ia menjadi saham besar untuk kita,” katanya.
Mengulas mengenai pembangunan negeri, beliau menegaskan kemajuan tidak seharusnya diukur berdasarkan pembinaan bangunan pencakar langit atau projek mewah, sebaliknya sejauh mana manfaat pembangunan dapat dinikmati rakyat secara keseluruhan.
Katanya, pembinaan kondominium bernilai ratusan ribu hingga jutaan ringgit tidak membawa makna besar sekiranya sebahagian besar rakyat tidak berkemampuan untuk menikmatinya.
“Yang penting, apa yang diusahakan kerajaan dapat dinikmati rakyat secara keseluruhan.
“Kedah juga menjadi tumpuan, sebelum ini pelabur syarikat Boeing, Porsche dan terkini BYD. Semakin ramai datang melihat potensi di negeri ini.
“Kita mungkin tidak mempunyai segala-galanya jika dibandingkan dengan negeri lain, tetapi mengapa mereka memilih Kedah? Kerana kelebihan yang ada pada kita,” katanya.
Tambah beliau, pembangunan yang dilaksanakan berlandaskan peraturan serta mengambil kira aspek halal dan haram, dosa dan pahala akan memastikan kemakmuran membawa keberkatan serta manfaat berpanjangan.

Tiada ulasan