Header Ads

test

JERAI GEOPARK DISASAR MENJADI UNESCO GLOBAL GEOPARK MENJELANG 2029

Nur Akasyah Sabri
ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah menyasarkan pencalonan Jerai Geopark sebagai UNESCO Global Geopark (UGGp) menjelang tahun 2029.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato' Mohd Salleh Saidin berkata, gerak kerja ke arah pencalonan tersebut telah giat dilaksanakan sejak tahun 2025.
“Buat masa ini, Jerai Geopark masih lagi diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan dan dalam proses Penilaian Semula Geopark Kebangsaan pada tahun 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Mohd Suffian Yusoff (PAS-Bandar Baharu) berhubung inisiatif Kerajaan Negeri untuk meningkatkan penarafan Jerai Geopark sebagai ikon geopark bertaraf antarabangsa, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
“Kita menggunakan proses ini untuk menilai kemajuan dan juga memberi keutamaan kepada penambahbaikan yang diperlukan sebelum pencalonan dikemukakan,” katanya.
Jelasnya, antara usaha yang dilaksanakan ialah memperkukuh tadbir urus dan pemuliharaan Jerai Geopark melalui Unit Jerai Geopark yang kini di bawah pengurusan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) Kedah, selain menyelaras kerja antara agensi, pentadbiran daerah, pihak berkuasa tempatan dan komuniti.
Tambahnya, usaha turut dilakukan bagi memperkukuh asas saintifik pencalonan melalui kajian di geotapak terpilih bagi mendokumentasikan warisan geologi Jerai, di samping memperjelas hubungannya dengan warisan arkeologi dan budaya setempat.
Hasil kajian dan penerbitan tersebut akan menyokong penyediaan dokumen pencalonan.
“Kerajaan Negeri turut memperkukuh jaringan dengan geopark kebangsaan dan antarabangsa, termasuk geopark yang telah diiktiraf UNESCO, untuk berkongsi kepakaran dan amalan pengurusan,” katanya.
Kerajaan Negeri turut memperluas penglibatan komuniti melalui program pendidikan awam, inisiatif Geoschool dan pembangunan laluan geotapak bagi membolehkan penduduk, pihak sekolah serta pengusaha tempatan mengambil bahagian dalam usaha memelihara dan memperkenalkan warisan Jerai.
“Usaha ini turut disokong oleh kajian pembangunan pelancongan Jerai Geopark oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA),” katanya.
Kajian tersebut membantu Kerajaan Negeri mengenal pasti pembangunan pelancongan yang sesuai serta bagaimana tarikan di kawasan berkenaan boleh saling melengkapi, di samping mengenal pasti produk dan peluang pelaburan yang berpotensi membuka lebih banyak ruang perniagaan kepada penduduk setempat.
Mohd Salleh berkata, antara peluang yang dikenal pasti ialah cadangan pembangunan kereta kabel di Gunung Jerai, namun cadangan itu masih di peringkat penerokaan dan perlu diteliti dari segi daya maju, kesan terhadap alam sekitar dan geotapak serta manfaat kepada penduduk.
Sementara itu, Kajian NCIA turut membantu Kerajaan Negeri memilih pembangunan pelancongan yang bersesuaian dengan daya tampung kawasan serta menyokong pemuliharaan warisannya.
“Menjelang tahun 2029, keutamaan Kerajaan Negeri ialah memastikan dokumen pencalonan disokong oleh penyelidikan yang kukuh dan kemajuan yang dapat ditunjukkan di lapangan, daripada keadaan geotapak dan mutu pengurusan sehinggalah penyertaan komuniti.
“Dengan asas ini, Jerai Geopark dapat dikemukakan untuk pertimbangan UNESCO dengan hala tuju pembangunan yang jelas dan manfaat yang dapat dirasai oleh penduduk setempat,” katanya.

Tiada ulasan