Header Ads

test

KEDAH TUNTUT INSENTIF RM700 JUTA SETAHUN KEKALKAN SAWAH PADI

 

“TUNTUTAN BERDASARKAN KAEDAH PENGIRAAN BAHARU”
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kerajaan Persekutuan diminta mempertimbangkan pemberian insentif fiskal sehingga RM700 juta setahun kepada Kedah sebagai pampasan atas pengorbanan negeri itu mengekalkan kawasan tanaman padi demi menjamin keterjaminan bekalan makanan negara.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tuntutan itu berasaskan kepada 134,000 hektar kawasan tanaman padi, merangkumi 102,000 hektar dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan 32,000 hektar di luar kawasan berkenaan.
Menurut beliau, keluasan itu tidak termasuk tanah yang digunakan untuk pembinaan infrastruktur pengairan seperti kawasan tadahan air, sungai dan terusan yang turut menjadi sebahagian daripada pengorbanan negeri itu dalam memastikan kelangsungan industri padi.
“Seluas itulah pengorbanan Kedah kepada negara ini, jadi patutlah diberi pertimbangan.
"Saya difahamkan ada kaedah baharu pengiraan untuk menentukan pemberat yang digunakan bagi menetapkan kadar pampasan atau bayaran khas yang wajar.
"Saya dengar boleh cecah sehingga RM700 juta setahun untuk pengekalan kawasan padi. Saya harap Kerajaan Persekutuan terimalah kaedah itu. Bayarlah RM700 juta. Kalau tak bayar banyak, bayarlah sedikit," katanya ketika ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.
Menurut Sanusi, tuntutan insentif fiskal itu bukan perkara baharu kerana sudah disenaraikan sebagai salah satu inisiatif di bawah Rancangan Fizikal Negara Keempat (RFN4) dan Pelan Induk Perancangan Guna Tanah Kawasan Sumber Makanan Negara (KAGUNM).
Malah, inisiatif berkenaan turut diambil kira dalam Rancangan Fizikal Negara Kelima (RFN5) serta Draf Kajian Pelan Induk Perancangan Guna Tanah Kawasan Jelapang Padi Negeri Kedah.
“Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha menuntut insentif fiskal yang munasabah dan adil daripada Kerajaan Persekutuan bagi memastikan kawasan tanaman padi terus dikekalkan,” katanya.
Beliau berkata, sebelum ini Kerajaan Persekutuan memaklumkan tiada mekanisme khusus untuk mengukur kadar insentif yang sewajarnya diberikan kepada negeri yang mengekalkan kawasan pertanian.
Bagaimanapun, katanya, terdapat dua mekanisme pengiraan yang dibangunkan melalui KAGUNM oleh PLANMalaysia bagi menentukan kadar bayaran tersebut.
"Kaedah pertama, kita anggarkan jika semua tanah tanaman padi di Kedah ditukar kepada pembangunan komersial, kerajaan negeri boleh mengutip hasil cukai sehingga RM1.7 bilion setahun.
"Jadi, untuk kita kekalkan tanah itu sebagai kawasan tanaman padi, kita minta 10 peratus daripada jumlah tersebut sebagai insentif," katanya.
Selain itu, katanya, kaedah kedua mengambil kira penjimatan perbelanjaan kerajaan hasil pengeluaran padi berbanding kos yang perlu ditanggung sekiranya bekalan beras terpaksa diimport.
“Mekanisme kedua ialah berapa kerajaan jimat daripada padi yang dikeluarkan di Kedah berbanding kerajaan terpaksa import. Jadi mekanisme untuk penjimatan import padi dianggarkan RM120 hingga RM170 juta.
"Jadi, kita minta RM200 juta," katanya.
Sanusi berkata, pemberian insentif berkenaan wajar dipertimbangkan kerana usaha mengekalkan kawasan sawah bukan sahaja melibatkan tanah pertanian, malah memerlukan pengorbanan kawasan bagi menyediakan kemudahan pengairan dan sumber air yang menyokong pengeluaran makanan negara.

Tiada ulasan