KADAR BEKERJA GRADUAN UniSHAMS MELONJAK KEPADA 95 PERATUS
Roslinda Hashim
KUALA KETIL - Kadar bekerja graduan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) melonjak kepada 95 peratus pada 2025 berbanding 87 peratus pada tahun sebelumnya, sekali gus membuktikan keberkesanan kurikulum berasaskan integrasi ilmu Naqli dan Aqli dilaksanakan universiti itu.
Naib Canselor UniSHAMS, Prof. Dr. Mohd Amy Azhar Mohd Harif berkata, pencapaian itu berdasarkan dapatan rasmi Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), yang mencerminkan peningkatan keupayaan graduan UniSHAMS menembusi pasaran pekerjaan.
“Berdasarkan trend itu, UniSHAMS menyasarkan kadar bekerja graduan melebihi 95 peratus pada 2026, selain memperkukuh kebolehpasaran graduan menerusi pemantapan jaringan industri, program keusahawanan dan penguasaan kemahiran digital terkini,” katanya ketika berucap sempena Istiadat Konvokesyen UniSHAMS kali ke-28, hari ini.
Menurut beliau, UniSHAMS turut mencatat perkembangan positif dalam penarafan antarabangsa apabila kedudukannya dalam QS World University Rankings: Asia meningkat daripada tangga 1,301 hingga 1,400 bagi 2026, kepada 1,201 hingga 1,300 bagi 2027.
Katanya, pencapaian itu mencerminkan peningkatan reputasi akademik, kebolehpasaran graduan serta jaringan kerjasama antarabangsa universiti berkenaan.
“Bidang Kaunseling UniSHAMS turut menerima pengiktirafan Talentbank 6-Star Employer Choice 2026 menerusi Talentbank Graduate Employability Index (GE Index) 11 April lalu, sekali gus membuktikan keyakinan majikan terhadap kualiti graduan bidang itu.
“UniSHAMS juga menduduki tempat ke-1,803 dalam penarafan UI GreenMetric Sustainable University Rankings, selaras komitmen universiti itu terhadap agenda kelestarian alam sekitar,” katanya.
Mohd Amy Azhar berkata, dari aspek pengantarabangsaan, UniSHAMS memperluas kerjasama akademik menerusi hubungan strategik dengan Universiti Al-Azhar di Kaherah, Mesir, yang membuka peluang kerjasama dalam penyelidikan, mobiliti pelajar, pemindahan kredit dan penganjuran persidangan antarabangsa.
“Kita memperoleh kelulusan rasmi menubuhkan Pusat Bahasa Al-Azhar di UniSHAMS, menjadikannya hab persediaan rasmi utama zon utara bagi melatih bakal pelajar yang berhasrat melanjutkan pengajian ke Mesir.
“Ia turut membuka laluan pemindahan kredit lepasan Diploma UniSHAMS ke peringkat Ijazah Sarjana Muda, selain pelaksanaan Program Mobiliti Berkredit dan penawaran Advance Islamic Management Programme atau Sijil Pengurusan Eksekutif,” katanya.
Selain itu, katanya, kerjasama dengan Markfield Institute of Higher Education (MIHE), United Kingdom turut diperkukuh menerusi program mobiliti antarabangsa pelajar dan kakitangan, penganjuran seminar serta penyelidikan dan penerbitan ilmiah.
“Di peringkat nasional, kerjasama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menyaksikan seramai 15 pegawainya melanjutkan pengajian dalam program Sarjana Kaunseling di UniSHAMS menerusi tajaan Hadiah Latihan Persekutuan Separa Biasiswa Swadaya (HLPSB Swadaya) daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” katanya.
Beliau memaklumkan, dalam usaha memastikan program pengajian kekal relevan dengan keperluan industri, UniSHAMS memperluas penawaran bidang akademik, termasuk Ijazah Sarjana Muda Pengajian Syariah (Pengurusan Halal) yang dijadualkan menerima pengambilan pelajar pada Mac 2027.
“Program itu dijangka melahirkan tenaga pakar dan profesional dalam industri halal global, manakala Diploma Kejururawatan mula ditawarkan pada 22 November depan dengan pengambilan 100 pelajar setahun.
“UniSHAMS turut berjaya menerima peningkatan kuota penawaran Program Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Ijazah Sarjana Muda Pembedahan (MBBS),” ujarnya.
Tambah beliau, bagi pengajian pascasiswazah, UniSHAMS memperkukuh penawaran menerusi program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI), Sarjana Pendidikan, Doktor Falsafah Pendidikan (PhD) dan Sarjana Perundangan.
“Program Teknologi Kejuruteraan dalam bidang Robotik, Kecerdasan Buatan (AI), automasi, tenaga boleh diperbaharui dan pertanian pintar akan diperkenalkan mulai 2027.
“Ia selari dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika lawatan kerja ke Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) supaya program kejuruteraan turut dibangunkan di institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri seperti UniSHAMS.
“Peluasan program Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Perundangan Syariah, Farmasi serta Fintech sedang giat dilaksanakan bagi memenuhi permintaan tenaga kerja masa hadapan,” katanya.
Jelasnya, transformasi digital menyaksikan UniSHAMS membangunkan rangkaian WiFi 7 dengan 637 titik capaian di seluruh kampus, sekali gus menjadikannya universiti pertama diliputi sepenuhnya teknologi itu.
“Inisiatif penjanaan dan penjimatan tenaga menerusi projek kerjasama strategik tenaga solar pula menjimatkan bil elektrik mencecah RM1 juta setahun, selain memberi nilai tambah RM6 juta untuk tempoh jangka panjang,” katanya.
Mohd Amy Azhar berkata, bagi memperkukuh latihan klinikal dan kemudahan kesihatan, UniSHAMS turut merancang penubuhan Hospital Mengajar serta Poliklinik Pakar UniSHAMS.
“Sebuah pasukan petugas khas dibentuk bagi merealisasikan perancangan itu yang bukan sahaja meningkatkan latihan praktikal pelajar perubatan dan sains kesihatan, malah menyediakan perkhidmatan kepakaran kepada masyarakat.
“Kami juga mohon pertimbangan serta bantuan Kerajaan Negeri dan korporat, agensi serta dermawan bagi membangunkan Pusat Latihan Eksekutif moden untuk memperkasakan latihan praktikal pelajar Seni Kulinari, Hospitaliti dan Pelancongan,” katanya.
Pada istiadat konvokesyen kali ini, seramai 1,039 graduan layak menerima ijazah, diploma dan sijil masing-masing menerusi empat sidang penganugerahan sepanjang tiga hari.
Seramai 30 graduan antarabangsa dari enam negara turut menerima penganugerahan, sekali gus memperlihatkan keupayaan UniSHAMS memperkukuh kedudukannya sebagai IPT berorientasikan jaringan antarabangsa.
Post a Comment