RAJA MUDA KEDAH INGATKAN GRADUAN JAUHI RASUAH, SALAH GUNA KUASA
Roslinda Hashim
KUALA KETIL - Graduan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) diingatkan supaya tidak menggadaikan prinsip integriti demi kepentingan atau keuntungan peribadi, sebaliknya tegas menolak rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan sumber awam.
Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin bertitah, pelbagai kes rasuah yang berlaku di negara ini perlu dijadikan iktibar bahawa pengkhianatan terhadap amanah bukan sahaja boleh memusnahkan kerjaya dan reputasi seseorang, malah menjejaskan kepercayaan masyarakat serta pembangunan negara.
Baginda bertitah, perbuatan sedemikian turut mengakibatkan kerugian secara langsung kepada rakyat, justeru setiap individu perlu meletakkan integriti serta amanah sebagai prinsip utama dalam kehidupan dan kerjaya.
"Kejayaan sebenar bukan sahaja diukur melalui jawatan, pangkat atau pencapaian, tetapi melalui keutuhan integriti, kemuliaan akhlak dan amanah yang dipelihara.
"Jadilah insan berilmu yang bukan sahaja cemerlang dalam kerjaya, tetapi juga teguh mempertahankan kebenaran dan bebas daripada amalan rasuah. Rasuah dan salah guna kuasa merupakan ancaman besar kepada organisasi dan negara," titah baginda.
Tengku Sarafudin yang merupakan Pro Canselor I UniSHAMS bertitah sempena Istiadat Konvokesyen UniSHAMS kali ke-28, di sini hari ini.
Baginda menegaskan, pendidikan bukan sekadar menyediakan manusia untuk mendapatkan pekerjaan, sebaliknya mempersiapkan insan mengemudi kehidupan dengan kebijaksanaan, nilai dan tujuan yang benar.
“Kehidupan ini adalah sebuah pelayaran, ilmu menjadi pedoman, akhlak menjadi kemudi dan iman menjadi arah tuju. Inilah antara makna pendidikan sebenar.
“Semoga ilmu yang diperoleh graduan di UniSHAMS menjadi bekalan sepanjang hayat. Setiap pengalaman menjadi sumber kebijaksanaan, setiap cabaran membina ketahanan diri dan setiap kejayaan membuka ruang kepada pencapaian lebih bermakna,” titah baginda.
Raja Muda Kedah turut menekankan kepentingan kerjasama antara Kerajaan Negeri, institusi agama, sektor pendidikan, industri dan masyarakat bagi memastikan pembangunan pendidikan menjadi sebahagian daripada ekosistem pembangunan negeri, bukannya bergerak secara bersendirian.
Dalam aspek pembangunan kampus, baginda bertitah, pembinaan kolej kediaman penting bagi menyediakan persekitaran pembelajaran dan kehidupan lebih selesa, teratur serta kondusif kepada mahasiswa.
“Pembangunan Masjid UniSHAMS dan Smart Kompleks Islam diharap bukan sekadar menjadi pusat ibadah, malah berfungsi sebagai pusat pengimarahan ilmu, pembangunan keusahawanan dan penyediaan peluang pekerjaan dalam kampus kepada pelajar.
“Pembangunan fizikal yang disertai dengan pembangunan insan akan menjadikan sesebuah universiti lebih bermakna dan berdaya tahan,” titah baginda.
Baginda turut menghargai sokongan Kerajaan Negeri dan sektor swasta, termasuk Bank Islam serta TP-Link Malaysia, dalam menyediakan kemudahan auditorium, bilik latihan eksekutif, lounge pelajar dan makmal rangkaian bagi memperkukuh prasarana pembelajaran universiti itu.
Tengku Sarafudin turut menghargai kerjasama UniSHAMS dengan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) dalam membangunkan modal insan secara holistik menerusi pendidikan bawah gagasan Pelan Strategik Cordoba of Kedah.
“Petunjuk prestasi utama (KPI) pelan strategik itu perlu dirancang dengan teliti dan dikemas kini selaras dengan objektif MAIK serta JHEAIK bagi memastikan pelaksanaannya mencapai matlamat ditetapkan,” titah baginda.
Dalam usaha memperluas akses pendidikan tinggi kepada anak Kedah, baginda menghargai kerjasama Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK) yang menyediakan sokongan pembiayaan kepada 10 pelajar UniSHAMS dalam program kejururawatan.
“Kerjasama strategik itu membabitkan Putra Medical Centre (PMC), Aurelius Hospital Alor Setar, Kedah Medical Centre (KMC) dan Sunway Hospital bagi memastikan faktor kewangan tidak menjadi penghalang kepada anak Kedah melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” titah baginda.
Raja Muda Kedah turut menzahirkan rasa bangga terhadap perkembangan UniSHAMS menerusi penawaran program baharu tahun ini, iaitu Syariah (Pengurusan Halal), Pendidikan dan Kejururawatan, selain kelulusan tambahan kuota 15 pelajar bagi program Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Ijazah Sarjana Muda Pembedahan (MBBS).
“Lebih membanggakan, seramai 271 alumni dan graduan MBBS UniSHAMS berjaya memperoleh penempatan pekerjaan di hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau memilih berkhidmat di pusat perubatan swasta.
“Seramai 10 alumni program itu kini melanjutkan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai persediaan menjadi doktor pakar,” titah baginda.
Baginda berharap pencapaian terus dipertingkatkan bagi melahirkan lebih ramai graduan profesional yang bukan sahaja memiliki kepakaran dalam bidang masing-masing, malah berpegang teguh kepada nilai integriti, akhlak dan amanah.
Post a Comment