Header Ads

test

KEDAH DISARAN JADI PENERAJU TANAMAN SORGUM, POTENSI BESAR SEBAGAI TANAMAN SOKONGAN

 

Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kedah disaran menjadi negeri peneraju tanaman sorgum sebagai alternatif kepada padi bagi mengurangkan kebergantungan terhadap satu jenis tanaman, selain menangani cabaran perubahan iklim dan kekurangan sumber air.
Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir (Bersatu-Kota Siputeh) berkata, sorgum berpotensi menjadi tanaman sokongan strategik kerana menggunakan 34 hingga 50 peratus kurang air berbanding padi serta tidak memerlukan sawah bertakung.
Menurutnya, tanaman itu juga mempunyai pelbagai kegunaan apabila bijirinnya boleh diproses menjadi makanan ternakan dan tepung, batangnya untuk foraj serta gula, manakala hampasnya dimanfaatkan sebagai bahan biojisim.
“Ia ditanam seperti rumput, sekali tanam boleh dituai berulang kali. Pasarannya juga besar, Malaysia dijangka mengimport 4.12 juta tan jagung tahun ini, sedangkan pengeluaran jagung bijian tempatan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) hanya 6,656 tan.
“Dasar Keterjaminan Makanan Negara (DKMN) 2030 sudah menamakan Kedah dan Perlis untuk meneroka tanaman sorgum, tetapi masih tiada bantuan khusus, sasaran serta laluan benih yang jelas,” katanya ketika sesi perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di sini hari ini.
Mohd Ashraf Mustaqim berkata, komuniti di Kota Siputeh sudah memulakan usaha menanam, menuai dan mengolah sorgum menjadi makanan bersama rakan peladang.
Katanya, pembangunan tanaman itu perlu berasaskan model komuniti yang membolehkan petani memiliki tanah, hasil dan keuntungan, bukannya model estet yang hanya menguntungkan syarikat.
“Dasar sudah ada, Kedah wajar memimpin. Kerajaan hanya perlu buka jalan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan lima langkah, termasuk mengisytiharkan Kedah sebagai negeri peneraju sorgum, selain menubuhkan pasukan petugas bersama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Jabatan Pertanian, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta pembeli.
Beliau turut mencadangkan dana rintis disalurkan di bawah Inisiatif Ekosistem Pertanian Bersepadu, serta mendesak laluan pantas pengiktirafan benih diwujudkan serta kajian kredit karbon tanah sorgum dimasukkan dalam Inisiatif Ekonomi Rendah Karbon negeri.
Dalam pada itu, beliau menyarankan agar menilai semula pendekatan meningkatkan pengeluaran padi melalui penambahan musim tanaman kerana ia boleh memberi tekanan kepada tanah dan alam sekitar.
Katanya, musim penanaman 1/2026 sepatutnya menjadi amaran apabila hanya kira-kira 10 peratus daripada 56,000 pesawah di Kedah memulakan penanaman pada Mei lalu berikutan masalah kos dan bekalan air.
“Kos operasi dilaporkan meningkat lebih 50 peratus, pesawah tersepit antara kemarau pada awal musim dan banjir di penghujung. Inilah wajah sebenar perubahan iklim yang sedang dihadapi.
“Saya hormati hasrat meningkatkan penanaman kepada lima musim dalam tempoh dua tahun, tetapi pendekatan itu perlu dipersoalkan kerana tanah tidak sempat berehat, sentiasa dibajak, disembur racun dan ditakung air akan kehilangan kesuburannya,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan kesan penambahan musim tanaman terhadap pelepasan gas rumah hijau, dengan merujuk DKMN 2030 yang melaporkan nitrus oksida daripada tanah pertanian menyumbang 37.66 peratus, manakala penanaman padi menyumbang 22.87 peratus daripada pelepasan gas rumah hijau sektor pertanian negara.
Sebaliknya, beliau berpandangan peningkatan hasil padi perlu dipacu melalui penggunaan benih berkualiti dan bukannya meningkatkan kekerapan penanaman.
“Di Sekinchan mampu hasilkan tujuh hingga 12 tan sehektar dengan dua musim penanaman setahun, selain benih NMR152 keluaran Agensi Nuklear Malaysia yang mencatatkan purata lapan tan sehektar dalam ujian penentusahan termasuk di Changlun,” katanya.
Mohd Ashraf Mustaqim turut menegaskan hak pesawah untuk menyimpan, menguji dan membiak benih sendiri perlu dipertahankan, termasuk pendirian menolak UPOV 1991 yang boleh meningkatkan kebergantungan petani kepada benih komersial.
“Padi kekal tanaman ruji strategik negeri ini, tetapi kita tidak boleh terus berjudi dengan satu tanaman dan memerah tanah yang sama.
“Biarlah Kedah, negeri jelapang padi, menjadi negeri pertama membuktikan hasil tinggi lahir daripada benih yang baik, manakala ketahanan pula lahir daripada kepelbagaian,” katanya.

Tiada ulasan