Header Ads

test

KEKANGAN KEWANGAN BUKAN PENGHALANG KERAJAAN NEGERI TERUS MEMBELA RAKYAT

 

Nur Akasyah Sabri
ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah komited meneruskan agenda kebajikan rakyat meskipun berhadapan dengan keterbatasan bidang kuasa dan kekangan sumber kewangan.
Mardhiyyah Johari (PAS-Pengkalan Kundor) berkata, keterbatasan tersebut tidak pernah menjadi alasan untuk Kerajaan Negeri mengabaikan kebajikan rakyat, malah memberi jaminan bahawa tiada mana-mana kaum akan dipinggirkan selaras dengan dasar teras pentadbiran 'Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua'.
Jelasnya, kekangan tersebut berpunca daripada pembahagian bidang kuasa antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan, selain hasil cukai yang boleh dikutip oleh Kerajaan Negeri adalah terhad berbanding Kerajaan Persekutuan.
“Ini kerana cukai yang boleh dikutip oleh Kerajaan Negeri begitu terhad, antaranya cukai pintu dan cukai tanah sahaja, manakala sebahagian besar hasil cukai yang lain dikutip oleh Kerajaan Persekutuan. Di situlah kita berdepan keterbatasan dari segi bidang kuasa dan kewangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Bagaimanapun, beliau melahirkan rasa syukur dan merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri kerana tidak pernah menghentikan program-program kebajikan rakyat meskipun berhadapan dengan kekangan kewangan.
Menurutnya, usaha membasmi kemiskinan dan meringankan beban rakyat terus diberi keutamaan menerusi pelbagai inisiatif kebajikan yang merangkumi setiap peringkat kehidupan, bermula daripada kelahiran bayi sehingga akhir hayat.
Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk caruman Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) untuk bayi baru lahir dengan peruntukan RM400,000, program Beras Sejahtera yang disalurkan setiap bulan kepada golongan memerlukan di setiap kawasan DUN dengan peruntukan RM8.57 juta serta bantuan pembaikan rumah keluarga miskin berjumlah RM8.28 juta.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan RM1.8 juta bagi pembangunan Lot Desa Sejahtera dan RM5 juta untuk program khairat kematian.
Dalam aspek pendidikan pula, pelbagai bantuan turut disediakan termasuk Bantuan Awal ke Institusi Pengajian Tinggi (iBAKIPT), Tabung Tengku Mahmud dan Tuisyen Rakyat Sejahtera secara percuma kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Malah, Kerajaan Negeri turut memperkenalkan Kedah Siswa Care menerusi caruman takaful untuk mahasiswa anak Kedah yang melanjutkan pengajian di universiti awam dan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS).
Mardhiyyah berkata, pelaksanaan program-program berkenaan bukanlah inisiatif baharu yang diperkenalkan pada tahun ini, sebaliknya telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu dengan penambahan peruntukan bagi Bajet 2027.
“Ini menunjukkan bahawa walaupun kita mempunyai keterbatasan kewangan, Kedah bukanlah negeri yang kaya dan berdepan kekangan federalisme, ia tidak menjadi alasan untuk Kerajaan Negeri meneruskan usaha kebajikan demi menghargai amanah yang diberikan.
“Inilah bukti bahawa Kerajaan Negeri Kedah merupakan tempat orang miskin berteduh dan tempat orang kaya berbakti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan tiada kaum yang dipinggirkan turut dizahirkan menerusi pelaksanaan dasar Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua tanpa mengira kaum dan agama.
Katanya, perhatian dalam sektor pendidikan bukan sahaja diberikan kepada institusi pendidikan Islam dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), malah turut melibatkan sekolah jenis kebangsaan serta pelaksanaan program Sejahtera Kaum menerusi lapan Majlis Ketua Kampung di Kampung Baru iaitu di Selama, Kelang Lama, Mahang, Padang Serai, Bedong, Pekan Merbok, Teluk Wanjah, dan Sungai Korok.

Tiada ulasan