Header Ads

test

KEDAH GESA KERAJAAN PERSEKUTUAN PERKASA SYARIKAT TEMPATAN, CADANG INSENTIF CUKAI LIMA TAHUN

 

Ku Azizah Ku Hamid
ALOR SETAR - Kerajaan Persekutuan digesa mewujudkan satu insentif khusus bagi memperkasakan syarikat tempatan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta vendor Bumiputera, supaya mereka mampu meningkatkan keupayaan dan menembusi rantaian bekalan industri berteknologi tinggi.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Industri & Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi & Inovasi, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah, syarikat tempatan juga perlu diberikan sokongan lebih besar, khususnya dari segi insentif fiskal, bagi membolehkan mereka meningkatkan kompetensi, kemudahan dan kapasiti pengeluaran.
Jelasnya, Kerajaan Persekutuan perlu mempertimbangkan pemberian pengecualian cukai atau ‘tax holiday’ selama lima tahun kepada syarikat tempatan yang bersedia memberikan komitmen untuk menjalani proses transformasi dan peningkatan keupayaan dalam tempoh berkenaan.
“Langkah itu penting bagi memastikan syarikat tempatan tidak terus ketinggalan berbanding pelabur asing yang berpeluang menikmati insentif cukai sehingga 15 tahun, sekali gus mewujudkan ruang lebih adil untuk syarikat tempatan berkembang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Menurut Haim Hilman, tanpa sokongan bersasar, usaha membangunkan vendor tempatan akan mengambil masa lebih lama, sedangkan industri berteknologi tinggi memerlukan pembekal yang mampu memenuhi standard antarabangsa dari segi kualiti, kecekapan dan kapasiti pembuatan.
Dalam pada itu, beliau berkata Kedah terus komited menghubungkan syarikat tempatan, PKS dan vendor Bumiputera dengan pelabur yang memasuki negeri ini, namun mengakui tahap piawaian syarikat multinasional yang tinggi memerlukan pemain tempatan mempercepatkan proses peningkatan keupayaan masing-masing.
Beliau turut menegaskan syarikat tempatan perlu beralih daripada hanya menawarkan perkhidmatan asas seperti penyelenggaraan dan landskap kepada penglibatan lebih besar dalam sektor pembuatan serta rantaian pembekalan industri.
“Pembangunan vendor tempatan tidak boleh bergantung kepada usaha Kerajaan Negeri semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen dan kerjasama Kerajaan Persekutuan dalam menyediakan sokongan serta dasar yang mampu memperkukuh daya saing syarikat tempatan.
“Sebagai contoh syarikat Bumiputera, Sapura Industrial Berhad (SIB) di Gurun yang menjadi vendor kepada EVE, termasuk dalam penghasilan komponen casing, sebagai bukti syarikat tempatan berupaya memenuhi keperluan industri sekiranya diberikan peluang dan sokongan sewajarnya.
“Saya berharap lebih banyak syarikat Bumiputera dapat dibangunkan sebagai vendor berkemampuan tinggi supaya manfaat kemasukan pelaburan ke Kedah turut dinikmati oleh pemain industri tempatan, sekali gus memperkukuh ekosistem ekonomi negeri dalam jangka panjang,” ujarnya.

Tiada ulasan