Header Ads

test

BANTUAN PENDIDIKAN KERAJAAN NEGERI TERBUKA KEPADA SEMUA KAUM

 

Nur Akasyah Sabri
ALOR SETAR – Peruntukan Kerajaan Negeri dalam bidang pendidikan disediakan bagi membantu seluruh masyarakat yang layak tanpa mengira kaum.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat berkata, antara inisiatif yang disediakan termasuk Tuisyen Rakyat Sejahtera, Bantuan Awal Institusi Pengajian Tinggi (iBAKIPT) dan Tabung Tengku Mahmud yang manfaatnya telah disalurkan kepada rakyat.
“Alhamdulillah, berdasarkan data sehingga tahun 2026, Tabung Tengku Mahmud telah membelanjakan lebih RM10 juta dengan seramai 6,854 penerima bagi tempoh 2024 hingga 2026, manakala iBAKIPT pula telah memberi manfaat kepada lebih 12,899 penerima,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya memaklumkan inisiatif bantuan berkenaan kepada ketua-ketua kampung atau turun sendiri ke kampung bagi memastikan maklumat sampai kepada golongan sasar.
Menurutnya, anak-anak yang rajin melayari TikTok dan Facebook mungkin mengetahui mengenai bantuan yang disediakan, namun terdapat juga yang tidak mendapat maklumat mengenainya kerana hebahan setakat ini lebih banyak dilakukan menerusi media sosial.
“Justeru, kita berharap perkara ini turut diberi perhatian oleh semua pimpinan masyarakat supaya setiap inisiatif yang disediakan oleh Kerajaan Negeri dapat disampaikan kepada rakyat,” katanya.
Tambahnya, bantuan pendidikan yang disediakan bukan hanya tertumpu kepada satu kaum, sebaliknya turut melibatkan seluruh masyarakat daripada pelbagai kaum yang layak untuk menerima manfaat berkenaan.

Tiada ulasan