KEDAH MAHU MUNCUL PUSAT PEMBANGUNAN TEKNOLOGI, INOVASI
“LAHIRKAN BAKAT BERTARAF DUNIA"
Roslinda Hashim
KULIM - Kedah mahu beralih daripada sekadar menjadi destinasi pengeluaran produk kepada pusat pembangunan teknologi, inovasi dan melahirkan bakat bertaraf dunia dalam industri berteknologi tinggi.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Kulim kini bukan lagi sekadar bandar perindustrian, sebaliknya muncul sebagai antara pusat penting dalam rantaian bekalan semikonduktor global.
Katanya, pencapaian itu perlu menjadi asas kepada usaha memperkukuh ekosistem perindustrian negeri supaya Kedah bukan sahaja menarik pelaburan, malah mampu membangunkan teknologi dan kepakaran sendiri.
“Bagi Kedah, kita mahu menjadi lebih daripada sekadar destinasi pengeluaran produk. Kita bercita-cita menjadikan negeri ini sebagai tempat teknologi dibangunkan, inovasi dipupuk dan bakat bertaraf dunia dilahirkan.
“Kulim bukan lagi sebuah bandar perindustrian, ia menjadi salah satu pusat penting dalam rantaian bekalan semikonduktor global,” katanya ketika berucap pada Sambutan Ulang Tahun ke-20 Infineon Technologies di sini, hari ini.
Sanusi berkata, Kerajaan Negeri komited dalam memastikan pelabur bukan sahaja datang menanam modal, malah dapat beroperasi, mengembangkan perniagaan dan terus berkembang dengan penuh keyakinan.
Menurutnya, usaha itu memerlukan persekitaran perniagaan yang kondusif menerusi penyelarasan berkesan, pembangunan infrastruktur, dasar yang jelas, bekalan utiliti yang boleh dipercayai, jaringan perhubungan baik serta penyediaan tenaga kerja berkemampuan.
“Pencapaian ini bukan milik sebuah syarikat atau sebuah kerajaan semata-mata. Ia merupakan hasil usaha bersama membabitkan pelabur, pembuat dasar, pemain industri, institusi pendidikan, pekerja dan masyarakat setempat,” katanya.
Tambah beliau, strategi pembangunan perindustrian Kedah juga akan terus memberi tumpuan kepada sektor pembuatan bernilai tinggi, elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor, teknologi hijau serta industri berorientasikan masa depan.
“Landskap perindustrian global sedang berubah dengan pantas. Kecerdasan buatan (AI), mobiliti elektrik, tenaga boleh baharu, automasi perindustrian dan pengkomputeran termaju sedang mengubah cara ekonomi bersaing. Industri semikonduktor akan terus menjadi teras kepada perkembangan ini.
“Kedah perlu meletakkan kedudukan strategik bagi merebut peluang yang muncul hasil daripada perubahan tersebut,” katanya.
Jelasnya, industri semikonduktor akan terus menjadi teras kepada perubahan ekonomi moden berikutan kepentingannya dalam pelbagai sektor termasuk automotif, komunikasi, peralatan perubatan, pusat data dan jentera perindustrian.
“Ia seiring dengan perkembangan pesat dunia ke arah pendigitalan, elektrifikasi dan penyahkarbonan, permintaan terhadap teknologi semikonduktor canggih akan terus membuka peluang yang besar,” katanya.
Dalam pada itu, Sanusi berkata, kejayaan pembangunan industri tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah pelaburan semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup rakyat.
Katanya, kehadiran dan pengembangan syarikat perlu memberi manfaat nyata menerusi peluang pekerjaan berkualiti, gaji lebih baik, pembangunan kerjaya, pemindahan ilmu serta pembentukan komuniti perniagaan tempatan yang lebih kukuh.
“Kita mahu Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) terus berkembang sebagai destinasi utama pelaburan berteknologi tinggi, disokong ekosistem menyeluruh yang merangkumi pengeluar, institusi penyelidikan, universiti, pembekal dan tenaga profesional berkemahiran tinggi,” katanya.
Beliau turut berharap kerjasama industri dapat diperkukuh menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D), penyertaan lebih ramai tenaga kerja tempatan serta hubungan lebih erat dengan syarikat Malaysia serta pelaburan berterusan dalam teknologi canggih.
Pada masa sama, Sanusi tegaskan, pertumbuhan perindustrian perlu bergerak seiring dengan tanggungjawab terhadap alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat setempat.
“Kita juga mengiktiraf kepentingan pembangunan perindustrian mampan. Pertumbuhan ekonomi perlu bergerak seiring dengan tanggungjawab terhadap alam sekitar, pengurusan sumber yang cekap serta kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya.
Post a Comment