Header Ads

test

LESEN PERNIAGAAN BUKAN TIKET KAUT UNTUNG MELALUI ‘ALI BABA’

 

“PREMIS RM60 DISEWA SEMULA RM200”
Ku Azizah Ku Hamid
ALOR SETAR - Amalan ‘Ali Baba’ membabitkan penyalahgunaan lesen perniagaan dan penyewaan semula premis milik pihak berkuasa tempatan (PBT) sehingga meraih keuntungan berlipat ganda perlu dibendung bagi memastikan kemudahan disediakan itu tidak dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab.
Lebih membimbangkan, terdapat pemegang lesen yang menyewa premis berkenaan pada kadar sekitar RM60 sebelum menyewakannya semula kepada pihak ketiga dengan kadar sehingga RM200, sekali gus mengaut keuntungan tanpa menjalankan sendiri perniagaan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, amalan itu jelas bertentangan dengan matlamat asal kerajaan menyediakan kemudahan premis perniagaan bagi membantu golongan memerlukan.
“Tujuan asal kita untuk membantu golongan yang memerlukan, tetapi ada pihak ambil kesempatan terhadap budi baik dan kelonggaran yang diberikan.
“Perkara ini perlu diberikan perhatian kerana kita tidak mahu kemudahan yang disediakan kerajaan disalahgunakan sehingga menafikan peluang kepada peniaga lain untuk mencari rezeki,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Perundangan dan Penguatkuasaan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia 2026, di sini, hari ini.
Menurut Mansor, selain isu penggunaan lesen perniagaan oleh individu lain, perkara lain yang perlu diberikan perhatian ialah penglibatan warga asing yang mengendalikan perniagaan menggunakan lesen milik pihak ketiga.
Dalam pada itu, beliau menegaskan PBT perlu memastikan setiap tindakan penguatkuasaan mematuhi prosedur, termasuk penyampaian notis, pengumpulan bukti, penyediaan rekod serta memastikan pegawai yang melaksanakan tindakan mempunyai kuasa yang sah.
”Tindakan sewajarnya perlu diambil sekiranya terdapat pelanggaran syarat lesen bagi memastikan kemudahan perniagaan yang disediakan PBT dimanfaatkan oleh golongan sasaran,” katanya.
Bagaimanapun, Mansor menegaskan tindakan penguatkuasaan tidak boleh dilaksanakan secara sewenang-wenangnya, sebaliknya perlu berlandaskan undang-undang serta mematuhi prosedur ditetapkan.
“Setiap tindakan penguatkuasaan perlu dilaksanakan secara tegas, adil dan berlandaskan undang-undang bagi mengelakkan pertikaian serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap institusi kerajaan.
“Penguatkuasaan yang berkesan bukan sekadar menunjukkan ketegasan kuasa, sebaliknya perlu disertai kebijaksanaan, integriti dan pematuhan prosedur bagi memastikan setiap keputusan mempunyai asas perundangan yang kukuh.
“Kita tidak boleh membiarkan tekanan persepsi awam menghentikan proses membuat keputusan yang sah. PBT perlu mengimbangi keperluan memberikan maklum balas segera dengan tanggungjawab memastikan setiap keputusan dibuat berdasarkan fakta dan undang-undang,” katanya.
Mansor berkata, PBT merupakan institusi kerajaan paling hampir dengan kehidupan rakyat kerana tanggungjawabnya merangkumi pelbagai aspek termasuk urusan perniagaan, pembangunan, kebersihan, persekitaran, kutipan hasil dan penguatkuasaan.
Sehubungan itu, beliau menggariskan tiga cabaran utama yang perlu diberikan perhatian, iaitu kerumitan isu serta bidang kuasa di lapangan, kesahan tindakan dan ketelitian prosedur, selain tekanan masyarakat terhadap kepantasan, ketelusan serta akauntabiliti.
“Undang-undang bukan semata-mata instrumen untuk menghukum. Undang-undang juga berfungsi untuk mendidik, mengawal selia, melindungi kepentingan awam dan mewujudkan kesinambungan dalam kehidupan bermasyarakat.
“Ketegasan perlu disertai kebijaksanaan, manakala budi bicara hendaklah dilaksanakan dalam lingkungan kuasa yang ditetapkan undang-undang tanpa mengabaikan prinsip integriti, keadilan dan akauntabiliti,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pegawai perundangan dan penguat kuasa PBT supaya terus memperkukuh profesionalisme, ketelitian prosedur serta integriti dalam menjalankan tugas demi mengekalkan kepercayaan masyarakat terhadap institusi kerajaan tempatan.

Tiada ulasan