Header Ads

test

KEDAH MOHON RM9 JUTA ATASI BANJIR MELIPUTI 89 KAWASAN HOTSPOT

Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kerajaan Persekutuan dimohon meluluskan peruntukan RM9 juta bagi melaksanakan kerja penyenggaraan dan pembersihan di 89 lokasi hotspot banjir yang dikenal pasti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar, Dato' Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria berkata, peruntukan itu penting bagi membolehkan kerja pembersihan sungai, alur sungai dan anak sungai dilakukan dengan lebih kerap bagi mengurangkan risiko banjir.
Menurutnya, permohonan peruntukan bagi menangani 89 hotspot berkenaan sudah dikemukakan kepada Kerajaan Negeri dan Persekutuan, termasuk permohonan sebelum ini bagi kerja penyenggaraan sungai.
“Kekangan peruntukan menyebabkan JPS ketika ini hanya mampu melaksanakan kerja pembersihan sungai sekali setahun, sedangkan kerja berkenaan sepatutnya dilakukan sekurang-kurangnya tiga hingga empat kali setahun.
"Bayangkan kalau sekali sahaja cuci, kemudian berdepan musim hujan. Keadaan ini sangat menyedihkan kerana sungai tersumbat dengan tumbuhan dan sampah tidak dapat diselenggara dengan sewajarnya.
“inilah perjuangan kita dan berharap Kerajaan Persekutuan mendengar serta meluluskan peruntukan yang dipohon," katanya ketika ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan Negeri turut meningkatkan peruntukan sebanyak RM1.1 juta bagi tahun depan, menjadikan keseluruhan RM6.6 juta menerusi inisiatif memperkukuh kesiapsiagaan bencana.
Beliau berkata, tambahan peruntukan itu membolehkan kerja pembersihan dilaksanakan secara berkala bagi memastikan sistem saliran dan aliran sungai berada dalam keadaan lebih baik.
“Diharap dengan bertambahnya peruntukan, dan kekerapan mencuci sungai, alur sungai, anak sungai dan sebagainya, sekurang-kurangnya kejadian banjir dapat dikurangkan,” katanya.

 

Tiada ulasan