ENAM PROJEK INFRASTRUKTUR JAMBATAN, JALAN RAYA SIAP LEBIH AWAL
Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Kecekapan pengurusan projek infrastruktur membolehkan enam projek pembinaan dan penggantian jambatan serta jalan raya di Kedah disiapkan lebih awal daripada jadual, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar, Dato' Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria berkata, kejayaan itu membuktikan kesungguhan agensi kerajaan memastikan projek pembangunan dilaksanakan dengan cekap demi kepentingan rakyat.
Menurutnya, projek tersebut ialah pembinaan jambatan dan jalan baharu di Kebun 500, Pokok Sena yang disiapkan pada 6 Oktober 2026, setahun lebih awal daripada jadual asal pada 6 Oktober 2027, dengan kos RM2.31 juta.
“Projek jambatan Sungai Getah di Jalan Sungai Lalang, Bukit Selambau bernilai RM9.25 juta turut disiapkan pada 23 September lalu, lebih awal daripada jadual asal pada Oktober 2026.
“Selain itu, Jambatan Sala bernilai RM21.4 juta juga berjaya disiapkan sebulan lebih awal, iaitu pada 16 Mei 2026 berbanding tarikh asal 16 Jun tahun sama,” katanya ketika ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Tambah beliau, projek menggantikan jambatan usang di Padang Setol di daerah Padang Terap yang sebelum ini menjadi isu lama dan tidak dapat diselesaikan akhirnya berjaya disiapkan pada 30 Ogos 2026.
"Projek bernilai RM4.35 juta itu sepatutnya siap pada Mac 2027, namun berjaya diselesaikan tujuh bulan lebih awal," katanya.
Mohamad Yusoff berkata, satu lagi projek yang berjaya disiapkan lebih awal ialah pembinaan jambatan baharu di Kampung Baru Tanjung Thai, Pedu bernilai RM3.5 juta yang siap pada 30 Ogos 2026 berbanding jadual asal Disember tahun ini.
“Selain itu, projek penggantian jambatan Sungai Pendang di Tanah Merah bernilai RM9.65 juta dijadualkan siap sepenuhnya pada bulan ini,” katanya.
Mengulas perancangan tahun depan, beliau berkata, Kerajaan Negeri akan mempergiat pembangunan infrastruktur menerusi peruntukan RM40.05 juta bagi membina baharu dan menaik taraf jajaran jalan serta jambatan utama.
“Antara projek diberi keutamaan ialah menaik taraf Jalan Kota Sarang Semut ke Pekan Pendang Fasa 1 bernilai RM22.6 juta.
“Turut dirancang penggantian jambatan Sungai Cepir di Batu 5 dan Parit Panjang bernilai RM6.85 juta yang dijangka siap menjelang Ogos 2027.
“Projek penggantian jambatan Sungai Limau di daerah Yan dan jambatan Sungai Biak di Kubang Pasu turut dilaksanakan, selain menaik taraf serta melebarkan persimpangan Kepala Batas melibatkan Bukit Pinang-Lengkuas di daerah Kota Setar,” katanya.

Post a Comment