Header Ads

test

KEDAH PERKASA PEMBANGUNAN SUKAN, TVET DAN POTENSI BELIA

Nur Akasyah Sabri

ALOR SETAR – Kerajaan Negeri Kedah terus memperkukuh pembangunan belia menerusi peruntukan dalam bidang sukan, pendidikan, kemahiran dan kebolehpasaran tenaga muda.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, peruntukan sebanyak RM8.8 juta disediakan kepada Majlis Sukan Negeri Kedah (MSNK) bagi tujuan pengurusan, pelaksanaan program pembangunan sukan, penganjuran Sukan Darul Aman (SUKDA) 2027 bagi mencungkil bakat baharu serta persediaan kontinjen Kedah menghadapi SUKMA 2028.

Dalam usaha mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri, sebanyak RM1 juta turut diperuntukkan bagi Pelan Pembangunan Bola Sepak Kedah 2035.

“Sokongan kepada aktiviti belia dan sukan moden turut diberikan melalui peruntukan RM300 ribu kepada Sekretariat Belia, penganjuran Liga Belia Sejahtera dan pembaikan infrastruktur kecil sukan komuniti,” katanya.

Tambahnya, bagi memastikan kemudahan sukan terus berada dalam keadaan baik dan mampu memenuhi keperluan atlet serta masyarakat, sejumlah RM2.85 juta disediakan bagi pembangunan, naik taraf dan penyelenggaraan kemudahan sukan.

Peruntukan tersebut merangkumi kerja-kerja membaik pulih fasiliti di Kompleks Sukan Sultan Abdul Halim dan Kompleks Sukan Muadzam Shah, selain pembinaan bumbung serta pemasangan karpet Lawn Bowl di MSNK.

“Kemudahan dan fasiliti sukan yang berkualiti adalah asas kepada pembangunan atlet dan gaya hidup sihat rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet Kedah 2027 bertemakan ‘The Greater Kedah: Mensejahterakan Rakyat’ di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.

“Selain itu, penyaluran peruntukan sebanyak RM1.8 juta diberikan kepada Perbadanan Stadium Negeri Kedah bagi menyokong pengurusan dan penyelenggaraan fasiliti sukan secara optimum,” katanya.

Selain pembangunan sukan, Kerajaan Negeri turut memberi perhatian kepada aspek pendidikan dan pembangunan kemahiran belia menerusi pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Sehubungan itu, peruntukan sebanyak RM2.5 juta disediakan bagi Program Pembangunan TVET Negeri Kedah, termasuk kerja-kerja awal pembangunan Maktab Mahmud TVET Sik (MMTS) dan Program Pemerkasaan TVET.

Jelas Sanusi, projek rintis tersebut bertujuan menyediakan tenaga profesional bagi memenuhi keperluan pekerjaan dalam sektor perindustrian.

“Sebanyak RM400 ribu diperuntukkan bagi Program Tuisyen Rakyat dengan keutamaan kepada subjek berasaskan STEM. Di samping itu, RM100 ribu disediakan bagi penganjuran Kedah STEM Fair untuk memupuk minat pelajar seawal sekolah rendah, termasuk di sekolah-sekolah agama,” katanya.

Bagi meningkatkan kebolehpasaran anak muda pula, sebanyak RM100 ribu turut disediakan bagi penganjuran Karnival Kerjaya Luar Bandar dan Padanan Pekerjaan dengan kerjasama PERKESO, KTPC dan sektor korporat.

Selain itu, RM50 ribu disalurkan sebagai subsidi bayaran kursus TVET menerusi kerjasama dengan KISMEC, ADTEC, ILP dan Politeknik.

“Pelaburan dalam bakat belia turut digerakkan menerusi Kedah Young Professional Programme dan Program Bakti Siswa bernilai RM150 ribu bagi membentuk pemikiran belia supaya bersedia berkhidmat kepada negeri dan memenuhi keperluan industri moden. Usaha ini akan dimantapkan lagi dengan kerjasama strategik bersama GLC dan rakan industri,” katanya.

Tiada ulasan