Header Ads

test

KEDAH PERKUKUH AGENDA KETERANGKUMAN SOSIAL, BASMI KEMISKINAN

 


Ku Azizah Ku Hamid

ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah memperkukuh agenda keterangkuman sosial menerusi pelbagai inisiatif pembangunan perumahan rakyat dan pembasmian kemiskinan bagi memastikan kesejahteraan masyarakat, khususnya golongan berpendapatan rendah, terus terbela.

Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, dalam aspek pembangunan perumahan rakyat, Kerajaan Negeri telah mengeluarkan sebanyak 405 hakmilik Perumahan Rakyat bagi tempoh 2025 hingga Oktober 2026, dengan daerah Kuala Muda mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 200 hakmilik.

Menurut beliau, usaha pemberian hakmilik perumahan akan diteruskan pada tahun 2027 menerusi Rancangan Perumahan Awam (RPA) Taman Kota Nelayan Fasa 2 yang melibatkan 257 hakmilik.

“Selain itu, sebanyak RM2.45 juta disediakan bagi pembangunan, pembaikan dan penyelenggaraan perumahan awam sebagai sebahagian usaha berterusan kerajaan negeri menangani isu perumahan rakyat.

“Kerajaan Negeri turut meneruskan pelaksanaan Program Pemutihan Data (Penawaran Rumah) di beberapa Projek Perumahan Rakyat (PPR) Transit, termasuk PPR Paya Nahu 2 di Sungai Petani, PPR Taman Dahlia di Langkawi dan PPR Mergong di Alor Setar bagi memastikan pengurusan perumahan lebih teratur,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika sesi pembentangan Bajet Kedah 2027 di Wisma Darul Aman, hari ini.

Jelasnya lagi, sebanyak RM8.28 juta diperuntukkan bagi program pembaikan dan naik taraf rumah keluarga miskin pada tahun 2027 bagi menyediakan kediaman yang lebih selamat dan selesa, termasuk membaiki rumah yang terjejas akibat bencana.

Muhammad Sanusi berkata, bantuan khairat kematian i-Kafalah turut diperkasa dengan tambahan peruntukan RM1 juta, menjadikan keseluruhan peruntukan bantuan berkenaan sebanyak RM5 juta.

“Bantuan Beras Sejahtera dan Program Kedah Sejahtera pula diteruskan dengan peruntukan RM8.57 juta bagi membantu golongan memerlukan mendapatkan keperluan asas.

“Pada masa sama, Program Permataku Sejahtera diperuntukkan RM400,000 menerusi caruman Sijil Simpanan SSPN bernilai RM200 bagi setiap kelahiran anak daripada keluarga B40 sebagai langkah menyokong persediaan pendidikan awal anak-anak,” kata beliau.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri turut menyediakan RM1.8 juta bagi pembangunan Lot Desa Sejahtera di daerah Sik dan Baling bagi menyediakan kemudahan tapak kediaman kepada rakyat yang memerlukan.

“Seramai enam penerima telah memperoleh rumah yang disediakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada tahun 2026 menerusi Desa Sejahtera Perik, Mukim Kurong Hitam, daerah Padang Terap,” ujarnya.

Tiada ulasan