Header Ads

test

KEDAH PERKUKUH MITIGASI BENCANA, PEMELIHARAAN ALAM SEKITAR DAN TENAGA HIJAU

Nur Akasyah Sabri
ALOR SETAR – Kerajaan Negeri komited memperkukuh pelan mitigasi bencana serta usaha pemeliharaan alam sekitar bagi menjamin keselamatan rakyat dan kelestarian sumber semula jadi negeri.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bagi mendepani cabaran perubahan iklim, sejumlah RM6.26 juta diperuntukkan merangkumi RM3.96 juta untuk Kajian Pelan Induk Tebatan Banjir, pembangunan infrastruktur saliran dan pembaikan kerosakan infrastruktur akibat banjir.
“RM300 ribu disediakan untuk Pembangunan Sistem Hidrologi termasuk penambahbaikan Web Infografik Pemantauan Banjir dan penempatan kamera stesen web (live webcam) di kawasan berisiko tinggi, dan RM2 juta untuk pengurusan bantuan bencana,” katanya.
Tambahnya, dalam usaha memperkukuh pemeliharaan alam sekitar dan biodiversiti, Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan berjumlah RM23.3 juta bagi memelihara khazanah alam serta kepelbagaian biodiversiti negeri.
“Daripada jumlah tersebut, RM18.3 juta disediakan untuk Pembangunan dan Pemuliharaan Hutan termasuk pelaksanaan Projek 2 Juta Pokok, pemeliharaan biodiversiti dan habitat Harimau Malaya, pembinaan Tapak Semaian Bakau di Kedah Tengah (Sungai Petani), program kesedaran pemeliharaan hutan bersama komuniti, serta pengukuhan penguatkuasaan kawasan hutan simpan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet Kedah 2027 bertemakan ‘The Greater Kedah: Mensejahterakan Rakyat’ di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Selain pemeliharaan hutan, sejumlah RM2.5 juta diperuntukkan bagi pembangunan Jerai Geopark merangkumi usaha pemuliharaan warisan geologi, pembangunan kemudahan sokongan serta promosi geopelancongan sebagai persediaan ke arah mendapatkan pengiktirafan UNESCO Global Geopark (UGGP).
Jelasnya, sektor pemeliharaan sumber air dan muara turut diperkasakan menerusi peruntukan RM2.5 juta bagi program River for Life yang merangkumi pemuliharaan sungai, muara sungai dan pantai selaras dengan sasaran Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 6) untuk Air Bersih dan Sanitasi.
Dalam aspek pembangunan tenaga mampan, Kerajaan Negeri turut menyokong pembangunan sektor tenaga bersih menerusi usaha sama strategik projek solar serta pembangunan tenaga boleh diperbaharui yang diterajui oleh Syarikat KESTER Sdn. Bhd. di bawah seliaan Invest Kedah.
Selain itu, inisiatif peralihan tenaga hijau di premis-premis Kerajaan Negeri Kedah akan dilaksanakan bagi mengurangkan kebergantungan sepenuhnya kepada tenaga elektrik, mengurangkan kos utiliti Kerajaan Negeri dalam jangka panjang serta menyokong usaha ke arah kelestarian alam sekitar.
“Bagi memulakan inisiatif ini, sejumlah RM100 ribu diperuntukkan bagi tujuan melaksanakan pelan penilaian menyeluruh, Green Energy Task Force, Energy Audit, projek perintis serta program-program yang berkaitan,” katanya.
Dalam pada itu, pengurusan sumber asli turut diberi perhatian menerusi peruntukan RM2.05 juta di bawah Ecological Fiscal Transfer (EFT) bagi kerja penandaan, pengukuran dan pengurusan Hutan Simpan Kekal (HSK).
“Bagi merancakkan sektor eko-pelancongan dan biodiversiti, sebanyak RM3.05 juta disediakan untuk menaik taraf infrastruktur di Taman Eko Rimba dan Hutan Taman Negeri merangkumi Pulau Songsong, Pulau Bidan, serta Hutan Simpan Kekal (HSK) Gunung Jerai. Inisiatif rendah karbon juga diteruskan menerusi peruntukan berjumlah RM600 ribu bagi Pembangunan Ladang Hutan,” katanya.

 

Tiada ulasan