KERAJAAN NEGERI PERLUAS AGENDA PELANCONGAN BERASASKAN KOMUNITI
Nur Akasyah Sabri
ALOR SETAR – Kerajaan Negeri mahu setiap pembangunan sektor pelancongan memberi peluang lebih luas kepada rakyat untuk terlibat sebagai pengusaha, penyedia perkhidmatan serta penerima manfaat daripada aktiviti pelancongan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato' Mohd Salleh Saidin berkata, Kerajaan Negeri pada masa ini tidak menyediakan peruntukan khusus bagi pembangunan pelancongan berasaskan komuniti atau Community-Based Tourism (CBT) kepada setiap DUN.
Jelasnya, bantuan akan dipertimbangkan berdasarkan permohonan yang dikemukakan, dengan mengambil kira penilaian terhadap cadangan komuniti serta keupayaan kewangan semasa Kerajaan Negeri. Oleh itu, tiada kadar peruntukan tetap ditetapkan bagi setiap DUN untuk tujuan berkenaan.
“Walau bagaimanapun, ketiadaan peruntukan khusus ini tidak sesekali mengurangkan ataupun menyekat komitmen Kerajaan Negeri dalam menyokong pembangunan CBT,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir (Bersatu-Kota Siputeh) mengenai jumlah peruntukan bagi pembangunan Community-Based Tourism (CBT) di setiap DUN, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
“Pintu kerajaan negeri sentiasa terbuka kepada komuniti dan juga pemohon yang layak untuk mengemukakan cadangan. Setiap permohonan akan dipertimbangkan berdasarkan kesesuaian, kebolehlaksanaan dan juga manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Tambahnya, Kerajaan Negeri mahu komuniti tampil sebagai penggerak yang membangunkan dan menguruskan pengalaman pelancongan di kawasan masing-masing, sekali gus menerima manfaat secara langsung daripada kegiatan tersebut.
“Mengambil kira perkembangan positif CBT di negeri kita terutamanya sejak tahun 2025, Kerajaan Negeri berhasrat untuk menggandakan tumpuan terhadap pembangunannya. Ini termasuk merancang penyediaan sejumlah peruntukan bagi membantu komuniti yang berpotensi melalui pendekatan empat zon berasaskan sempadan pentadbiran daerah,” katanya.
Empat zon berkenaan merangkumi Zon 1 melibatkan daerah Kota Setar, Kubang Pasu, Pokok Sena dan Padang Terap; Zon 2 melibatkan Pendang dan Yan; Zon 3 melibatkan Kuala Muda, Kulim, Bandar Baharu, Baling dan Sik; manakala Zon 4 melibatkan Langkawi.
Mohd Salleh berkata, pembahagian tersebut bertujuan memudahkan penyelarasan, penilaian dan pemantauan pembangunan CBT dengan mengambil kira kekuatan serta keperluan komuniti di setiap daerah.
“Ia juga membolehkan pembangunan dirancang secara lebih tersusun termasuk menghubungkan produk dan aktiviti komuniti yang saling melengkapi dalam sesuatu zon,” katanya.
Katanya, sebelum sebarang peruntukan dipertimbangkan, penilaian akan dilaksanakan terhadap komuniti dan cadangan projek dalam setiap zon bagi mengenal pasti tahap kesediaan serta keupayaan pelaksanaannya.
“Melalui pendekatan yang lebih tersusun ini, kita berhasrat membangunkan CBT yang mampu bertahan, berkembang dan memberikan pulangan berterusan kepada komuniti di samping memelihara keunikan setempat yang menjadi tarikan kepada pengunjung,” katanya.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri akan mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Persekutuan bagi mewujudkan satu dana bersepadu untuk pembangunan CBT.
“Cadangan kita, dana tersebut diselaraskan oleh Kerajaan Negeri dan juga disalurkan terus kepada komuniti. Dengan penglibatan pejabat DUN untuk membantu mengenal pasti komuniti yang berpotensi dan juga membimbing mereka untuk menyediakan permohonan,” katanya.

Post a Comment